Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir hargai sokongan padu M’sia bantu Palestin

Dec 22, 2023 | 2:20 PM
MALAYSIA PRIHATIN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah (depan sekali), menghadiri majlis menghulurkan bantuan kemanusiaan pada 18 Disember yang merangkumi bekalan ubat, barangan asas wanita dan bayi serta makanan untuk rakyat Palestin di Gaza yang dilanda konflik perang dengan Israel.
MALAYSIA PRIHATIN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah (depan sekali), menghadiri majlis menghulurkan bantuan kemanusiaan pada 18 Disember yang merangkumi bekalan ubat, barangan asas wanita dan bayi serta makanan untuk rakyat Palestin di Gaza yang dilanda konflik perang dengan Israel. - Foto FACEBOOK DZULKEFLY AHMAD

KUALA LUMPUR: Mesir menyatakan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Duta Mesir ke Malaysia, Encik Ragai Tawfik Said Nasr, berkata pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, pada 23 Oktober di Kahirah telah mempercepatkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza.

“Malaysia adalah antara negara pertama di Asean yang menghantar 100 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, termasuk 60 tan yang dihantar baru-baru ini.

“Ia dijangka sampai kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam beberapa hari akan datang. Anda adalah perintis, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan Malaysia,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 21 Disember.

Terdahulu beliau menjadi tetamu Bernama TV dalam segmen The Brief yang dihoskan oleh Cik Jessy Chahal di Kuala Lumpur.

Malaysia baru-baru ini membuat penghantaran ketiga bantuan kemanusiaan Ops Ihsan untuk rakyat Palestin, merangkumi 60 tan bantuan meliputi barangan perubatan, makanan sedia dimakan, barangan bayi serta barangan untuk kegunaan musim sejuk seperti tilam dan selimut.

Dengan penghantaran ketiga itu, Malaysia sehingga kini telah menghantar sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan.

Duta Mesir itu juga memberi penjelasan mengenai persimpangan sempadan Rafah antara Mesir dengan Gaza yang menurutnya dibuka sejak hari pertama.

Walaupun menghadapi cabaran termasuk pengeboman di sebelah Gaza oleh Israel, Mesir memudahkan kemasukan bantuan menerusi rundingan dengan Israel, selain menyediakan peruntukan untuk menurap jalan di sebelah Gaza.

Beliau berkata melalui rundingan Mesir dan Qatar untuk melaksanakan gencatan senjata selama seminggu pada November, sejumlah 300 trak memasuki Gaza sepanjang tempoh itu berbanding hanya 20 trak sebelum ini.

Encik Said Nasr berkata Mesir menyumbang 75 peratus daripada jumlah bantuan yang memasuki Palestin dalam kalangan lebih 100 negara yang menyumbang kepada usaha membantu Palestin.

Dalam perkembangan diplomatik berkaitan, beliau berkata pemimpin tertinggi Hamas, Encik Ismail Haniyeh, kini berada di Mesir untuk berbincang mengenai situasi di Gaza yang dijangka menyumbang kepada usaha berterusan untuk merealisasikan gencatan senjata.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg