KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula minggu depan dan berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata mengikut ramalan pihaknya, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.
“Misalnya fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Sementara pada Januari dan Februari, kejadian hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Namun, sekiranya tiupan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Menjelaskan lanjut, Dr Mohd Hisham berkata hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan tiupan ribut serta risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta berisiko mengakibatkan kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” jelasnya.
Katanya, menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac, kawasan utara Semenanjung pula dijangka mengalami kurang hujan.
“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba.
“Bagaimanapun, keadaan diramalkan tidak seteruk seperti tahun ini (2024) disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan (2025),” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Hisham mengingatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg