CHUKAI (Terengganu): Sebanyak 244 rumah penduduk, tujuh sekolah dan puluhan premis termasuk pejabat kerajaan di Chukai, Terengganu, rosak teruk dibadai ribut kencang dan hujan batu menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
Kejadian ribut dan hujan batu kira-kira 4 petang, 22 Oktober itu, turut menyebabkan seorang lelaki, Encik Mohd Firdaus Abu Hassan, 35 tahun, patah kaki akibat ditimpa runtuhan pondok wakaf di Pantai Teluk Mak Nik, Chukai, ketika berlindung di situ.
Selain itu, papan tanda, pokok dan tiang elektrik turut tumbang yang merosakkan khemah perniagaan di tepi jalan di kawasan berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menganggarkan tujuh sekolah yang rosak akibat dipukul ribut dan hujan batu itu kerugian kira-kira RM1.1 juta ($330,000).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Bencana Terengganu, Encik Hanafiah Mat, berkata 17 kumpulan kontraktor turun padang bermula 24 Oktober untuk melakukan kerja pembaikan 244 rumah penduduk di sembilan kampung yang rosak dalam kejadian tersebut.
“Kejadian ribut dan hujan batu ini menyebabkan banyak atap dan bumbung kediaman penduduk diterbangkan ribut serta ditimpa pokok, namun kita bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Tumpuan kini adalah membaiki kerosakan kediaman penduduk dengan segera.
“Kita turut membuka sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan keluarga yang kediaman mereka rosak dan tidak dapat diduduki.
“Pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut serta membantu kerja pembersihan di kawasan kampung dan sekolah yang terjejas,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Pengarah JPNT, Encik Jelani Sulong, berkata enam daripada tujuh sekolah yang rosak juga giat dibersihkan dan dibaiki oleh kontraktor dilantik.
“Kita berharap kerja pembersihan sisa runtuhan atap dan tingkap yang pecah berjalan lancar dan kerja pembaikan dapat diselesaikan dengan cepat supaya sekolah boleh beroperasi seperti biasa bermula 27 Oktober ini,” katanya.
Dalam pada itu, penyelidik iklim dan cuaca, Dr Chung Jing Xiang, berkata fenomena hujan batu yang melanda bandar Chukai dan kawasan sekitar bukan petanda banjir besar bakal melanda Pantai Timur pada 2024, seperti didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya kata beliau, hujan batu antara ciri-ciri peralihan monsun daripada Monsun Barat Daya sejak 24 September lalu, sebelum memasuki Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula awal November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg