Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia bakal teroka AI sebagai antara kaedah tangani banjir

Feb 22, 2024 | 1:45 PM
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (depan, tiga dari kanan) bersama ahli delegasi mendengar taklimat yang disampaikan pihak berkuasa Jepun sempena lawatan kerja ke negara itu pada 21 Februari.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (depan, tiga dari kanan) bersama ahli delegasi mendengar taklimat yang disampaikan pihak berkuasa Jepun sempena lawatan kerja ke negara itu pada 21 Februari. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

OSAKA (Jepun): Malaysia bakal melaksanakan beberapa kaedah baru yang digunakan Jepun dalam pengurusan bencana di negara itu, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data bagi mengatasi masalah banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan itu dilihat berkesan dalam menangani isu bencana alam, terutama dalam jangka panjang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata usaha itu akan diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya berpendapat pengalaman berada di Osaka ini satu pengalaman perlu bagi kita menyediakan rancangan jangka panjang supaya masalah banjir dapat diurus dengan baik.

“Untuk mengatasi masalah banjir ini bukan saja mengenai soal kebajikan kepada mangsa banjir, tetapi soal bagaimana pengairan, pengaliran dan juga tebatan banjir harus dilakukan bersama-sama teknologi baru,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun berkata demikian kepada media Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan bencana di Osaka, Jepun, pada 21 Februari.

Mengulas lanjut, beliau berkata apa yang diperoleh daripada pengalaman pihak berkuasa tempatan di Osaka dapat digunakan di Malaysia, termasuk dalam soal pembinaan tebatan banjir dan pemasangan pam penyedut air dalam kapasiti besar yang telah dilakukan di Jepun sejak 45 tahun lalu.

“...Dan penyelesaian permasalahan jangka panjang seperti banjir mesti dilakukan ketika kos untuk pemasangan dan pembaikan serta mengubah suai dan menaik taraf ini tidak terlalu tinggi berbanding apabila ia dilakukan untuk 30 atau 50 tahun mendatang,” ujarnya.

Selain itu, Datuk Zahid berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, untuk menyelaras semua mitigasi yang harus dilakukan bagi mengurangkan risiko bencana di Malaysia.

Malaysia dianggarkan mengalami kerugian bernilai RM622.4 juta ($129.8 juta) akibat bencana banjir di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pada 2022, berbanding RM6.1 bilion pada 2021.

Dalam laporan Khas Mengenai Kesan Banjir di Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu, kerugian RM622.4 juta pada 2022 adalah bersamaan 0.03 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg