Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia bentang rang undang-undang bendung kes buli di sekolah yang meruncing

Dec 2, 2025 | 3:05 PM
M’sia, rang undang-undang bendung kes buli, Zara Qairina Mahathir
Kematian tragis pelajar menengah satu dari sebuah sekolah di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, yang dipercayai akibat menjadi mangsa buli mendapat perhatian dunia dan keluarganya menuntut keadilan atas kematian gadis itu di mahkamah. - Foto fail BERNAMA

Malaysia membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli yang ditunggu-tunggu bagi menangani kes buli di institusi pendidikan, khususnya di sekolah yang semakin meruncing, termasuk yang mengakibatkan kematian.

RUU itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 1 Disember oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Parlimen, dan dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 3 Disember.

Gesaan untuk kerajaan memperkukuh undang-undang bagi menangani kes buli di institusi pendidikan Malaysia kian memuncak menyusuli beberapa insiden buli termasuk yang menyebabkan kematian di institusi pendidikan di negara itu, khususnya di peringkat sekolah.

Pada Ogos lalu, Berita Harian (BH) melaporkan pendedahan oleh Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, mengenai kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia semakin membimbangkan dengan 7,681 kes dicatat pada 2024 – meningkat 1,153 kes berbanding 6,528 kes pada 2023.

Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) itu turut menunjukkan kejadian paling tinggi membabitkan pelajar sekolah menengah dengan sejumlah 5,689 kes dilaporkan dalam tempoh itu, manakala 1,992 kes melibatkan sekolah rendah.

Antara kes yang paling mendapat perhatian ramai sehingga tular ke seluruh dunia ialah kematian seorang pelajar menengah satu dari sebuah sekolah di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, dipercayai akibat menjadi mangsa buli.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang di bangunan asrama sekolahnya, sebelum disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan pada Julai lalu (2025).

Ketika ini, kes kematiannya sedang didengar di mahkamah dengan pelbagai pendedahan mengenai dakwaan mangsa dibuli didedahkan, termasuk dikatakan pernah membuat aduan berkaitan gangguan seksual di sekolah.

Beberapa kes lain yang mencuri perhatian dan gesaan tindakan melibatkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun, yang juga pesakit barah hidung, menderita akibat gegaran otak selepas didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Skudai, Johor, pada Februari 2025.

Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39 tahun, mendakwa anak lelakinya yang juga murid berada di Tahun Empat, mengalami trauma teruk selepas dipukul, ditendang, dihentak kepala serta dipaksa berbogel oleh murid Tahun Enam, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku terhadap kakak mangsa yang menolak cintanya.

Mengenai RUU antibuli itu, ia bertujuan mewujudkan mekanisme khusus bagi membendung gejala buli di institusi pendidikan, selain menyediakan peruntukan bagi penubuhan Tribunal Antibuli untuk meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap gejala tersebut.

Tribunal yang akan dianggotai pakar perundangan dan kehakiman, profesional berpengalaman dalam kebajikan kanak-kanak, psikologi, pembangunan dan keadilan pemulihan, akan mendengar aduan daripada mangsa atau ibu bapa dan penjaga mereka.

Tribunal Antibuli yang dicadangkan itu juga akan memberi kuasa kepada badan itu mengeluarkan perintah bagi pembuli agar membayar pampasan atau ganti rugi tidak lebih RM250,000 ($78,591) kepada mangsa perbuatan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg