Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendatang asing bayar RM6,000 untuk masuk, kerja di M’sia secara haram
Pendatang asing bayar RM6,000 untuk masuk, kerja di M’sia secara haram
Pendatang asing bayar RM6,000 untuk masuk, kerja di M’sia secara haram
PASIR PUTEH (Kelantan): Pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai sanggup membayar ribuan ringgit untuk diseludup masuk dan bekerja di Malaysia.
Mereka membayar wang berkenaan kepada ‘ejen’, yang kemudiannya menguruskan perjalanan ‘haram’ kepada mereka untuk masuk melalui jalan laut.
Taktik itu terbongkar dengan penahanan lapan warga Myanmar dalam operasi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris, pada 24 Jun lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad, berkata Pati terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 51 tahun itu mendakwa membayar RM6,000 ($1,893) untuk menempuh perjalanan empat hari melalui jalan laut untuk bekerja kilang di Malaysia.
“Bertindak atas risikan, pada 11.47 malam, kami gerakkan aset ke Sungai Kelantan sebelum menemui bot dalam keadaan mencurigakan.
“Bot itu bergerak laju dan berjaya meloloskan diri, namun pada 12.20 tengah malam, kami berjaya mengesan bot merapat ke tebing dan menurunkan penumpang yang kemudian membawa kepada penahanan lapan Pati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, pada 28 Jun, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kesemua Pati itu ditemui ketika menyorok di dalam semak berhampiran tebing sungai di Kampung Pasir Pekan Hilir.
Katanya, mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Tok Bali untuk urusan dokumentasi, serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Sementara itu dalam satu kes berasingan di Kota Bharu, Kelantan, sindiket Pati kini dikesan mengubah modus operandi dengan membawa masuk migran dalam kumpulan kecil.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Penolong Pesuruhjaya Kanan Ahmad Radzi Hussain, berkata ia bagi mengelak kegiatan mereka dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melaksanakan kawalan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia–Thailand.
Beliau berkata taktik itu bagaimanapun berjaya dipatahkan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) Batalion 8 PGA, dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Dalam gerakan berkenaan, pihak berkuasa berjaya menahan 13 warga Myanmar, termasuk lima wanita menerusi serbuan berasingan di Kampung Banggol Kemian, Pasir Mas, pada 27 Jun.
Tambahnya, semua yang ditahan memaklumkan mereka dibawa masuk dari Thailand melalui Sungai Golok di sempadan Thailand-Kelantan, oleh dua lelaki tidak dikenali sebelum ditinggalkan secara berperingkat di kawasan hutan bagi mengelakkan pergerakan dalam kumpulan besar dikesan pasukan keselamatan.
