Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia komited laksana sistem tol tanpa palang

Aug 7, 2025 | 4:03 PM
M’sia, sistem tol, MLFF
Percubaan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) sedang dilaksanakan di Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di Selangor. - Foto PLUS MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Malaysia komited melaksanakan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF), meskipun perjanjian pelantikan antara kerajaan dan syarikat pencadang telah ditamatkan pada 16 Disember 2024.

Ke arah itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Kementerian Kerja Raya telah membentangkan kertas Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu, bagi mendapatkan hala tuju baru pelaksanaan MLFF.

Ini bagi membuka peluang kepada syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan berbincang secara terus dengan 33 syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada melalui pendekatan ‘perniagaan ke perniagaan’ (B2B).

“Hala tuju kedua iaitu Pelaksanaan MLFF tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya, lapor portal Berita RTM.

Sebagai contoh, Datuk Ahmad Maslan berkata syarikat konsesi PNB dan Prolintas sedang melaksanakan projek percubaan Proof of Concept (POC) atau pembuktian konsep bagi sistem kutipan tol MLFF di Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di Selangor.

“Percubaan ini dijalankan dengan kerjasama Touch ’n Go dan bank CIMB di mana gantri dan peralatan berkaitan MLFF telah dipasang untuk menguji keberkesanan sistem tersebut sebelum pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu (Terengganu), Encik Shaharizukirnain Abd Kadir, di Dewan Rakyat, pada 6 Ogos.

Pada masa yang sama, Lembaga Lebuhraya Malaysia turut giat memantau prestasi lorong tag pengenalan frekuensi radio (RFID) sedia ada, manakala usaha penalaan (fine-tuning) lorong RFID dilaksanakan dengan lebih kerap oleh syarikat pengendali lebuh raya dalam memastikan prestasi sistem terus dipertingkat.

Selain itu, turut diperkenalkan ialah Sistem Pembayaran Terbuka di beberapa plaza tol yang membolehkan pengguna membuat bayaran menggunakan pelbagai kaedah, sekali gus membantu mempertingkatkan kelancaran aliran trafik.

Sementara itu, The Straits Times pada 7 Ogos melaporkan, Malaysia bersedia untuk melancarkan percubaan awam MLFF, menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) untuk mengurangkan kesesakan dan memodenkan proses kutipan tolnya.

Percubaan itu, yang diketuai oleh pengendali lebuh raya Plus Malaysia, akan bermula pada pertengahan Ogos di Lebuhraya Utara-Selatan dan melibatkan ribuan peserta terpilih.

Jika berjaya, perintis ANPR akan berfungsi sebagai komponen utama dalam sistem MLFF di serata Malaysia, yang disasarkan untuk dilancarkan menjelang 2027.

“Perintis ini merupakan langkah penting dalam peralihan kami ke arah sistem MLFF,” sumber yang dekat dengan projek itu dipetik sebagai berkata, sambil menambah bahawa ia akan menilai prestasi ANPR dalam keadaan trafik sebenar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg