Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia lancar MySiren, hantar amaran bencana terus ke telefon mudah alih
M’sia lancar MySiren, hantar amaran bencana terus ke telefon mudah alih
KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan di Malaysia pada 23 November, hanya akan berfungsi menghantar pemberitahuan kepada pengguna, tanpa mempunyai sebarang akses kepada data peribadi pemilik peranti.
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata sistem dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu, menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS).
Menurutnya teknologi itu akan menyalurkan amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi ditetapkan, tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran.
“MySiren ini berbeza dengan kaedah SMS (sistem pesanan ringkas), di mana pesanan dihantar kepada nombor penerima, sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan apa-apa maklumat mahupun data daripada peranti pengguna.
“Ia juga tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan MySiren, di bangunan Parlimen pada 23 November, lapor laman web, Astro Awani.
Pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, CikTeo Nie Ching; dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fatih Din.
Datuk Fahmi berkata ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara, dijadual akan dilakukan pada 10.10 pagi 29 November ini.
Mengulas lanjut mengenai MySiren, Datuk Fahmi berkata sistem berkenaan berkeupayaan menyampaikan maklumat atau amaran jauh lebih pantas dan serentak ke semua peranti, berbanding menggunakan kaedah penghantaran SMS.
“Kalau SMS, ia akan melalui queue (kebenaran) daripada telco (syarikat telekomunikasi).
“MySiren ini dia bypass (melangkaui) telco, terus kepada apa yang disebut sebagai alat pemancar. Semua menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar bagi mesej amaran bencana.
“Jadi semua pengguna yang berada dalam satu lingkungan menara ataupun pemancar yang aktif, akan mendapat maklumat yang sama pada waktu yang sama,” katanya.
Menurut Datuk Fahmi, SKMM kekal sebagai agensi yang mengendalikan sistem MySiren, dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), juga boleh mengakses sistem berkenaan.
“Pada waktu ini fokus ialah (notifikasi) bagi keadaan banjir, tanah runtuh dan bencana alam tapi akan diperluas kepada beberapa maklumat lain termasuk kebakaran, kehilangan individu ataupun kanak-kanak dan perkara-perkara berkaitan PBT yang mempunyai sifat bencana,” katanya.
Datuk Fahmi berkata MySiren mula dibangunkan pada 2025, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkannya sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan berjumlah RM200 juta ($62.38 juta).
Sementara itu, SKMM dalam kenyataan memaklumkan simulasi (latihan percubaan) sistem turut dilaksanakan di pekarangan Bangunan Parlimen, pada 23 November.
Ia bagi menguji keupayaan sistem itu menyalurkan mesej berserta bunyi amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan yang ditetapkan.