Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia lanjut kontrak dengan Ocean Infinity, teruskan pencarian MH370 dengan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’
M’sia lanjut kontrak dengan Ocean Infinity, teruskan pencarian MH370 dengan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’
M’sia lanjut kontrak dengan Ocean Infinity, teruskan pencarian MH370 dengan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’
Kerajaan Malaysia bersetuju melanjutkan perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity, bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 yang hilang secara misteri lebih sedekad lalu, di selatan Lautan Hindi bagi tempoh setahun bermula 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata keputusan itu merupakan manifestasi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi Kerajaan dalam memberikan penutupan (closure) yang amat dinantikan oleh keluarga waris penumpang pesawat MH370.
“Jemaah Menteri pada 26 Jun 2026 telah bersetuju untuk melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
“Pelanjutan ini berkuat kuasa bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2027,” kata Encik Loke, dalam kenyataan pada 29 Jun.
Beliau berkata pelanjutan itu mengekalkan kesemua terma dan syarat utama dalam perjanjian sedia ada termasuk penerapan prinsip ‘no find, no fee’ (tiada penemuan, tiada bayaran).
“Mengikut prinsip tersebut, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.
“Bagaimanapun, pembayaran berjumlah AS$70 juta ($90.52 juta) akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai,” jelasnya.
Encik Loke berkata kelulusan pelanjutan tempoh itu bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7428.54 kilometer persegi diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan yang berpangkalan di Britain.
“Langkah ini turut mengambil kira komitmen kontrak komersial baharu yang diterima oleh Ocean Infinity yang memerlukan aset utama operasi sedia ada ditugaskan semula ke kawasan lain buat sementara waktu.
“Penugasan dan penjadualan semula aset tersebut hanya boleh dibuat bermula November 2026 hingga April 2027 iaitu semasa musim keadaan laut tidak bergelora bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan pencarian,” jelasnya.
Sebelum ini pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines MH370 itu disambung semula pada 30 Disember 2025.
MOT ketika itu memaklumkan bahawa operasi pencarian dasar laut bagi mengesan serpihan pesawat MH370 itu di Lautan Hindi akan dijalankan selama 55 hari.
Namun, menurut Laporan Ringkasan Kemajuan Operasi Pencarian MH370 (6-15 January 2026) operasi itu dihentikan pada 15 Januari, akibat cuaca buruk.
Menurut laporan yang dimuat naik di Facebook Persatuan Keluarga Penumpang dan Anak Kapal MH370 (MH370 Families), operasi pencarian yang dijalankan di atas kapal Armada 8605 telah meliputi kawasan terkumpul kira-kira 7,236.40 kilometer persegi setakat 15 Januari 2026.
Laporan itu berkata keadaan cuaca adalah menggalakkan bagi usaha tinjauan berterusan sehingga 14 Januari, sebelum operasi dihentikan pada 15 Januari akibat cuaca buruk.
