KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking (Penarafan) Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dalam satu kenyataan, berkata kedudukan terbaru itu adalah pencapaian terbaik Malaysia sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan Madani sedang membuahkan hasil.

“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.

“Prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif serta mampan.

“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. la antara asas penting dalam perjalanan kita meletakkan Malaysia dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan lebih cerah untuk anak kita,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Miti pula berkata kejayaan itu mengukuhkan hala tuju Malaysia untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033, seperti yang disasarkan Kerangka Ekonomi Madani.

“Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan,” kata Miti.

WCR 2025 menyaksikan lonjakan Malaysia dalam kalangan 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 pada 2024. WCR diterbitkan setiap tahun oleh IMD yang berpangkalan di Switzerland.

Ia adalah laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.

Menurut Miti WCR 2025 menyaksikan lonjakan Malaysia dalam faktor Prestasi Ekonomi sebanyak empat anak tangga ke kedudukan keempat terbaik berbanding tempat kelapan pada 2024.

Faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan pula kededuanya meningkat lapan anak tangga.

Sub-faktor Perdagangan Antarabangsa melonjak 11 anak tangga ke tempat keenam berbanding kedudukan ke-17 pada 2024, berikutan pertumbuhan rancak eksport barang dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran dan peningkatan terimaan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan negara.

Menteri Miti, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga itu mencerminkan bahawa faktor birokrasi saling berkait dengan antara lainnya pelaburan dan pembangunan industri.

Beliau berkata kededuanya penting bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.