PUTRAJAYA: Kabinet Malaysia meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa Malaysia.

Ini menyusuli beberapa kejadian penyeludupan dadah di lapangan terbang negara itu baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 20 Ogos, sebagai langkah segera, enam tindakan akan diberi keutamaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sedia ada.

Antara lain, ia merangkumi saringan bersasar berasaskan risiko dengan mempertingkat pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.

Selain itu, pelaksanaan e-Vetting (tapisan keselamatan) dan kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad akan diperkukuh.

Pihak berkuasa juga akan meningkatkan ujian saringan dadah sebelum diambil bekerja, secara berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

“Kehadiran nyata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik akan dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan.

“Langkah ini turut disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2, KLIA serta penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan.

“Perkongsian maklumat keselamatan dan risikan melalui Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC) turut akan diperkukuh,” tambah kenyataan itu.

KDN dan MOT turut akan menubuhkan segera sebuah Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha kedua-dua kementerian.

“Jawatankuasa itu bertanggungjawab menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi dan memantau pelaksanaan keseluruhan pelan,” katanya.

Kenyataan itu menyebut enam langkah segera terbabit merupakan keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang dirangka bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di KLIA dan pintu masuk antarabangsa Malaysia.

“Pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut merangkumi tindakan sederhana dan jangka panjang, di mana fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia.

“Manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh Malaysia berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” ujar kenyataan itu.

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan beberapa kejadian penyeludupan dadah di lapangan terbang, termasuk membabitkan seorang juruterbang Malaysia Airlines, yang terlepas daripada pemeriksaan di KLIA, tetapi ditahan bersama 25 kilogram (kg) dadah di lapangan terbang Indonesia pada 28 Julai.

Beberapa hari kemudian pihak berkuasa Indonesia menahan seorang warga Malaysia berusia 22 tahun di lapangan terbang negara itu, selepas didakwa menemui hampir satu kilogram methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi.