KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia menafikan dakwaan yang tular kononnya ia ‘memberikan kewarganegaraan Malaysia secara borong’ kepada warga asing, dan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau telah menafikan dakwaan berkenaan berkali-kali, namun masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif berkenaan perkara itu.

“Saya telah menafikan dakwaan ini berkali-kali sebelum ini. Malah, saya sendiri telah memberikan penjelasan berdasarkan fakta dan data rasmi.

“Namun, masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetulkan semata-mata untuk mengelirukan rakyat serta meniup sentimen perkauman dan kebencian,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada 19 Ogos.

Datuk Saifuddin Nasution, berkata penyebaran fitnah seperti itu bukan sekadar mencemarkan nama individu atau institusi.

“Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar semua pihak menghentikan penyebaran fitnah dan tidak memperalatkan isu sensitif demi kepentingan politik atau meraih perhatian di media sosial.

“Saya juga menyeru agar rakyat menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

“Fakta tetap fakta. Data tetap data. Jangan biarkan fitnah mengatasi kebenaran,” katanya lagi.

Media Malaysia pada Mac 2025 melaporkan, KDN berkata warga China membentuk kurang daripada satu peratus daripada jumlah individu yang diberi kewarganegaraan Malaysia sejak 2010 hingga 2024.

Kementerian itu berkata rekod daripada Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan antara 2010 dengan 2024, hanya 0.91 peratus kelulusan kerakyatan Malaysia untuk individu dari China.

Indonesia mendahului senarai, dengan sebanyak 23.52 peratus mendapat kelulusan kerakyatan Malaysia, diikuti India (6.76 peratus), Thailand (5.02 peratus) dan Filipina (2.77 peratus).