Topik diikuti
Pergi ke BHku179 warga baru S’pura lafaz ikrar, jadikan kepelbagaian kekuatan negara
Warga baru boleh menawarkan keistimewaan tersendiri melalui kepelbagaian pengalaman dan sudut pandangan, kata Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong.
Namun, semua warga perlu disatukan oleh jati diri Singapura agar menjadi “lebih kukuh bersama”, katanya kepada 179 warga baru Singapura dari GRC East Coast pada Upacara Kewarganegaraan pada 15 Ogos.
Encik Tong, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, berkata kepelbagaian budaya merupakan antara kekuatan Singapura.
Beliau berkata perbezaan latar belakang, nilai dan pengalaman harus disatukan untuk membentuk jati diri bersama sebagai rakyat Singapura.
Tidak banyak negara mampu menyatukan kepelbagaian sedemikian, katanya di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) di Changi.
Menurut Encik Tong, tempat seseorang dilahirkan atau dibesarkan kurang penting berbanding tekad bersama untuk membentuk jati diri sebagai rakyat Singapura dan bersama-sama memajukan negara.
Dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA) dengan sokongan Majlis Integrasi Nasional (NIC), Upacara Kewarganegaraan kali pertama diadakan pada 2007 bagi mengetengahkan kepentingan kewarganegaraan.
Warga baru dikehendaki menerima sijil kewarganegaraan mereka, sama ada pada upacara tahunan itu, yang dianjurkan secara bergilir oleh kawasan undi, atau pada upacara di peringkat GRC.
Encik Tong berkata Singapura mengurus kepelbagaian melalui pematuhan teguh terhadap kedaulatan undang-undang.
“Semua orang di Singapura dilayan sama rata. Tidak kira dari mana anda berasal atau latar belakang anda. Satu peraturan untuk semua,” katanya.
Beliau menambah bahawa sejak Piagam Keadilan Kedua Britain 200 tahun lalu, yang menjadi asas kerangka perundangan Singapura, negara ini telah meminda dan menyesuaikan undang-undangnya mengikut konteks negara.
Ini termasuk mengiktiraf kaum dan agama sebagai ciri khusus masyarakat Singapura serta melindungi ruang untuk amalan agama dan perkembangan pelbagai kumpulan etnik, katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan Ikrar Singapura, khususnya perkataan pertama, “kita”, sambil mengingatkan bahawa Singapura tidak mampu mengalami perpecahan berasaskan identiti, kaum, bahasa atau agama seperti yang berlaku di negara lain.
Jumlah pendatang yang menjadikan Singapura tempat tinggal dijangka meningkat ketika negara menghadapi kadar kelahiran yang merosot dan penduduk menua.
Pada Februari, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata anggaran awal kesuburan keseluruhan Singapura jatuh ke paras terendah 0.87 pada 2025, dan memberi amaran penduduk boleh menyusut menjelang awal 2040-an tanpa campur tangan.
Dalam lima tahun akan datang, Singapura akan memberikan sehingga 30,000 kewarganegaraan baharu setahun, berbanding 21,300 setahun antara 2020 dengan 2024.
Jumlah penduduk tetap (PR) pula akan meningkat daripada purata 33,000 kepada kira-kira 40,000 setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mereka yang ingin memohon kewarganegaraan Singapura mesti menjadi PR sekurang-kurangnya dua tahun.
Antara warga baru ialah Encik Nathaniel Naplah, 51 tahun, dari Liberia, yang tiba pada 1995 dan pernah bermain bola sepak profesional di Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Fandi Ahmad, V. Sundramoorthy dan Malek Awab.
Kini pembantu guru, beliau berbangga menjadi warga negara yang dianggapnya sebagai rumah selama hampir tiga dekad.
“Berada di sini, menyaksikan tiga anak lelaki saya membesar dan membina kehidupan bersama isteri, telah memberi saya akar yang kukuh dan asas untuk keluarga kami. Saya amat bersyukur dan bangga menjadikan Singapura sebagai rumah kami.”
Seorang lagi warga baru, pedagang komoditi, Encik Michael Phelps, 51 tahun, dari Britain pula tiba pada 1999 untuk tugasan dua tahun.
Encik Phelps, yang sebelum itu bekerja di London, Tokyo dan Hong Kong, berkata beliau tiba di Singapura tanpa sebarang jangkaan.
Selepas membina kerjaya dan bertemu isterinya, Lynn, warga Singapura, beliau memilih menjadi warga negara dan berharap terus menyumbang kepada masa depan Singapura.
“Saya berharap dapat terus mengembangkan kerjaya dan menyumbang kepada masa depan negara. Saya mempunyai banyak impian dan cita-cita, dan jika semuanya boleh menjadi kenyataan, tempatnya ialah di rumah baru saya,” kata bapa empat anak itu.
