PUTRAJAYA: Malaysia melonjak lapan anak tangga ke tangga ke-15 daripada 70 ekonomi yang dinilai dalam Laporan Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2026, sekali gus menunjukkan prestasi terbaik negara itu dalam tempoh sedekad.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan lonjakan itu sebagai bukti bahawa usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan negara itu berada pada hala tuju yang tepat.

Katanya, pencapaian itu turut meletakkan Malaysia kekal sebagai ekonomi kedua paling berdaya saing di Asean selepas Singapura.

Beliau berkata pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh lima tahun itu turut mencerminkan kestabilan politik serta keyakinan pelabur yang semakin kukuh terhadap negara itu.

“Alhamdulillah, pencapaian itu membuktikan bahawa usaha reformasi ekonomi, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia berada pada landasan yang tepat.

“Tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, masyarakat perniagaan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada lonjakan daya saing negara ke tangga ke-15 dunia,” katanya, dalam hantaran di Facebook, pada 18 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Pencapaian terbaharu itu meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik dalam WCR 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), berbanding tangga ke-23 pada 2025.

Pencapaian itu juga menyaksikan Malaysia memperbaiki kedudukannya sebanyak 19 anak tangga dalam tempoh dua tahun selepas berada di tangga ke-34 pada 2024, sekali gus kembali berada dalam kelompok 20 ekonomi paling berdaya saing dunia dengan skor keseluruhan 81.91 mata.

Datuk Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata kejayaan berkenaan adalah hasil usaha bersama rakyat serta pelbagai pihak yang memainkan peranan dalam memperkukuh daya saing negara itu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan terus memperkukuhkan ekonomi negara itu bagi memastikan manfaat pertumbuhan dan kemakmuran dapat dinikmati seluruh masyarakat.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama dan tekad mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi. Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus bekerja kuat demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha reformasi yang dilaksanakan Kerajaan Madani.

“Untuk rekod, sasaran kerajaan adalah di kedudukan ke-12 terbaik menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan pada 18 Jun.

Mengulas lanjut, Tan Sri Shamsul Azri berkata faktor kecekapan pemerintahan, yang juga satu daripada empat faktor utama yang diukur dalam laporan itu, mencatat peningkatan memberangsangkan apabila negara itu melonjak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada tangga ke-14.

Beliau berkata ia membuktikan reformasi yang dilaksanakan untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian serta mengurangkan beban birokrasi mula diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan masyarakat perniagaan.

“Beberapa penunjuk yang berkaitan dengan Kecekapan Pemerintah turut mencatat peningkatan ketara, termasuk penunjuk Tempoh Memulakan Perniagaan, yang melonjak 38 anak tangga daripada kedudukan ke-53 kepada ke-15,” katanya.