BINTULU (Sarawak): Malaysia terus memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga sejagat, menerusi kerjasama strategik dengan beberapa negara pengeluar utama bagi menjamin kelangsungan bekalan untuk jangka panjang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendekatan diplomasi yang terbuka dan berkecuali membolehkan Malaysia membina hubungan baik dengan pelbagai kuasa dunia demi menjaga kepentingan negara, terutama dalam aspek keselamatan tenaga.

Menurut beliau, hasil pertemuannya dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, ketika lawatan ke negara itu baru-baru ini, Malaysia memperoleh jaminan bekalan tenaga berterusan bagi memenuhi keperluan domestik serta komitmen eksport tenaga ke beberapa negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

“Presiden Putin dalam pertemuan dengan saya memberi jaminan akan mewujudkan pengaturan dan perjanjian jangka panjang bagi memastikan bekalan tenaga berterusan kepada Malaysia.

“Jaminan ini penting kerana keperluan tenaga negara bukan hanya untuk pasaran domestik, malah bagi memenuhi komitmen jangka panjang dengan beberapa negara lain,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Bintulu, pada 21 Jun.

Beliau berkata perkembangan susulan lawatan ke Russia itu amat signifikan ketika pasaran tenaga dunia terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik dan cabaran ekonomi sejagat.

Pada masa sama, Datuk Anwar memaklumkan Malaysia turut mencatat pencapaian penting apabila memperoleh akses kepada beberapa blok gas strategik di Turkmenistan menerusi kerjasama syarikat petroleum negara, Petronas.

"Perkembangan berkenaan berpotensi memperkukuh penguasaan Malaysia dalam sektor gas asli serta membuka peluang baharu kepada industri tenaga negara di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan itu adalah hasil kestabilan politik negara, kejelasan dasar kerajaan serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia sebagai rakan strategik yang diyakini dalam sektor tenaga sejagat," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Kuching pula, Datuk Anwar memaklumkan, Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan menjalin kerjasama erat demi kepentingan bersama serta manfaat jangka panjang kepada negara.

Beliau berkata ketika ini rundingan antara dua syarikat tenaga itu menunjukkan kemajuan yang positif ke arah mencapai persetujuan muktamad.

Katanya beliau bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, sentiasa menekankan kepentingan kededua syarikat itu untuk menjalin kerjasama erat.

"Peluang besar yang tersedia dalam sektor tenaga perlu dimanfaatkan secara adil, saksama dan berhemah oleh kededua pihak sebagai rakan strategik yang berkongsi matlamat sama,” katanya.