Topik diikuti
Pergi ke BHku19 loji pengeluaran di M’sia mampu hasilkan 1.5j liter biodiesel sebulan
19 loji pengeluaran di M’sia mampu hasilkan 1.5j liter biodiesel sebulan
Keupayaan pengeluaran mampu tampung permintaan tempatan, sekali gus bantu imbangi kenaikan harga diesel
19 loji pengeluaran di M’sia mampu hasilkan 1.5j liter biodiesel sebulan
SUNGAI BULOH (Selangor): Kapasiti 19 loji pengeluaran biodiesel yang sedang beroperasi di Malaysia ketika ini dijangka mampu membekalkan kira-kira 1.5 juta liter bahan itu sebulan.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keupayaan pengeluaran itu mampu menampung penggunaan serta permintaan tempatan, sekali gus membantu mengimbangi kenaikan harga diesel pada masa ini.
“Kini terdapat 19 loji pengeluaran biofuel sama ada B15 hingga B50 dan kita akan gunakan sludge atau sisa pengeluaran yang terhasil daripada minyak mentah sawit, di mana terdapat 35 peratus sludge akan dimanfaatkan untuk mengeluarkan biodiesel dan juga (minyak) jet A1.
“Ini sudah dimulakan dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada dasarnya sudah menerima saranan itu.
“Kita akan selaraskan dengan badan dan syarikat berkenaan. Kita berharap supaya kos pengeluarannya itu rendah apabila terdapat sinergi dijalankan bersama-sama dengan 19 loji itu.
“Setakat ini ia akan dapat menyumbang kepada lebih kurang 1.5 juta liter biodiesel sebulan.
“Kita harap dengan adanya pengeluaran ini, ia akan mengurangkan kos dan harga keseluruhannya akan turun,” katanya pada 19 April, selepas merasmikan pembukaan pasar raya RissMart Grocer di Sungai Buloh, Selangor, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Ahmad Zahid berkata berdasarkan ujian yang sudah dilakukan, tidak ada keraguan terhadap biodiesel yang akan dihasilkan terutama dari segi keupayaan untuk digunakan oleh kenderaan.
“Kita sudah melakukan ujian. Petronas juga sudah melakukan ujian terhadap diesel ini.
“Kita juga bekerjasama dengan beberapa syarikat pengeluaran kenderaan untuk menguji kesesuaian biodiesel ini bagi kenderaan diesel yang dikeluarkan di negara kita.
“Insya-Allah dari segi jangka panjang, ia mampu menstabil dan menurunkan harga diesel di Malaysia,” katanya.
Pada 15 April, Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dilaporkan berkata kerajaan Malaysia melaksanakan dan merangka pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kesan krisis tenaga akibat konflik Timur Tengah kepada rakyat.
Ia termasuk mempercepat penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
Oleh itu, beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara dasarnya bersetuju menyegerakan peralihan kepada biodiesel, yang merupakan salah satu sumber pilihan bahan api alternatif paling praktikal dan sedia untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Langkah segera peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui boleh menjamin sumber tenaga domestik yang mana dalam konteks ini kerajaan bukan sahaja stabilkan bekalan dan harga, bahkan juga membina daya tahan jangka panjang memandangkan pemulihan krisis ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan,” katanya.
