Malaysia khususnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi tumpuan rantau Asia Tenggara sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang bermula 26 Mei, menghimpunkan pemimpin tertinggi dari 10 negara anggota Asean.
Usai menyambut ketibaan pemimpin tertinggi negara anggota, atur cara dimulakan dengan sesi pleno Sidang Kemuncak ke-46, diikuti sesi perbincangan lain yang menyaksikan para pemimpin mengadakan perbincangan mendalam mengenai cabaran semasa, keutamaan strategik dan usaha memperkukuh perpaduan serantau.
Datuk Anwar berkata Malaysia beriltizam untuk menerajui Asean dengan semangat kesepakatan, keberanian dan visi jelas bagi terus mengangkat martabat Asean, dihormati di persada dunia dan menjadi kebanggaan bersama rakyat di rantau ini.
“Malaysia berbesar hati menjadi Pengerusi Asean pada tahun ini (2025), satu tahun yang penuh makna.
“Kita menandakan sedekad penubuhan Komuniti Asean, satu peluang untuk kita merenung kembali dan memperbaharui tekad.
“Pada masa yang sama, kita akan melakar Wawasan 20 Tahun yang berpandangan jauh, yang memerlukan komitmen teguh dan azam kolektif kita.
“Detik penting ini memberikan semangat baru dan keyakinan kepada Asean, yang terserlah melalui ketahanan luar biasa dalam menghadapi perkembangan global yang semakin rumit dan membimbangkan,” katanya dalam ucapan di sesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur, pada 26 Mei.
Malaysia juga mencatat sejarah apabila pertama kali memperkenal penganjuran Sidang Kemuncak Asean-GCC-China, dalam usaha memperkukuh kerjasama tiga hala antara Asean, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan China.
Menurut Datuk Anwar, sidang pertama yang menjadi titik penting dalam landskap kerjasama serantau dan antarabangsa itu bukan saja mempertemukan tiga blok utama dunia, malah mencerminkan tahap keyakinan dan saling kebergantungan yang semakin meningkat antara wilayah itu.
“Saya percaya bahawa Sidang Kemuncak Trilateral ini merupakan manifestasi kejayaan dalam merangka semula matriks perkongsian yang sejajar dengan realiti dunia multipolar masa kini.
“Ia melambangkan kuasa perpaduan blok serantau, yang sudah pasti memberi kesan positif kepada dunia secara keseluruhan.
“Paling utama, kita mesti memelihara sistem pelbagai hala dan memastikan model geoekonomi Asean-GCC-China terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan untuk rantau dan rakyat kita,” kata Datuk Anwar.
Sidang Kemuncak Asean-GCC-China dihadiri Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.
Pada Sidang Kemuncak Asean itu, Malaysia turut mengadakan Sidang Kemuncak Asean-GCC kedua.
Asean kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak AS3.8 trilion (RM17.9 trilion/$4.88 trilion), manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar Asean dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS696.7 bilion.
Dalam sela Sidang Kemuncak Asean, Malaysia, Singapura dan Vietnam turut melakar sejarah dengan menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui dari sumber tenaga angin luar pesisir antara ketiga-tiga negara.
Sepuluh negara anggota yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-46 bertema, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ialah Malaysia, Singapura; Brunei Darussalam, Kemboja; Indonesia; Laos; Myanmar; Filipina; Thailand dan Vietnam.
Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Kay Rala Xanana Gusma, turut hadir pada sidang kali ini, selaras hasrat Timor-Leste untuk menyertai keanggotaan Asean sebagai anggota penuh.
Turut berlangsung pada hari pertama Sidang Kemuncak Asean ke-46 ialah Sesi Dialog Pemimpin Asean bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA); Sesi Dialog bersama Wakil Belia Asean; serta Sesi Dialog bersama Wakil Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC).
Turut berlangsung ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Asean 2045: Masa Depan Bersama yang menjadi penanda aras strategik dalam membentuk fasa seterusnya pembangunan Komuniti Asean.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg