PUTRAJAYA: Dengan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia ketika ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya memakai pelitup muka terutama di tempat sesak, selain menyarankan pengambilan dos penggalak sebaik arahan mengenainya dikeluarkan dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu penting sebagai antara usaha mencegah risiko dijangkiti Covid-19, terutama menjelang musim cuti dan perayaan Krismas, yang dijangka menyaksikan peningkatan jumlah kes.
“Kami akui berlaku lonjakan kes Covid-19 ketika ini dan saya telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai situasi semasa.
“Adalah penting untuk memahami bahawa peningkatan kes berkait rapat dengan faktor seperti cuti akhir tahun, mobiliti dan keadaan cuaca,” katanya lapor Malay Mail selepas perhimpunan bulanan KKM di Putrajaya pada 14 Disember.
Datuk Dr Dzulkefly yang sebelum ini mantan Menteri Kesihatan kembali menerajui kementerian tersebut dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 12 Disember.
Berita Harian pada 13 Disember melaporkan, jumlah kes baru Covid-19 di Malaysia mencatat peningkatan dua kali ganda iaitu daripada 6,796 kepada 12,757 kes dalam tempoh seminggu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata peningkatan itu direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME49/2023), berbanding ME48/2023 (26 November hingga 2 Disember).
Beliau berkata dalam tempoh itu jumlah kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki Covid-19) ke pusat kesihatan di Malaysia, bagi penggunaan katil bukan kritikal turut meningkat kepada 1.4 peratus.
Begitu juga dengan penggunaan katil Unit Jagaan Rapi (ICU), jumlahnya meningkat kepada 1.4 peratus dan peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut bertambah kepada 0.5 peratus.
Mengulas mengenai suntikan dos penggalak, Datuk Dr Dzulkefly, berkata golongan rentan iaitu pesakit yang mengalami beberapa penyakit dan kronik, serta warga emas yang lebih berisiko dijangkiti akan disaran mengambil dos penggalak.
Katanya, bekalan vaksin sedia ada belum mencapai tarikh luput dan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat dalam usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19, terutama dalam jangkaan peningkatan kes pada minggu mendatang.
“Arahan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Dos penggalak vaksin Covid-19 berkesan dalam melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baru.
“Andai kita laksanakan, masih ada bekalan yang belum mencapai tarikh luput dan ia mampu melindungi daripada pelbagai strain Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, pakar kesihatan turut menggesa kerajaan agar mengambil langkah tegas memandangkan kes Covid-19 terus meningkat di Malaysia.
Presiden Persatuan Pakar Amalan Perubatan Swasta Malaysia, Datuk Dr Balwant Singh Gendeh, berkata golongan warga emas, terutama yang menghidap penyakit seperti barah, semput dan darah tinggi berisiko tinggi dijangkiti.
“Dengan jumlah kes Covid-19 hampir dua kali ganda pada minggu lepas, mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia kembali mengenakan topeng pelitup muka sebagai langkah perlindungan jangkitan Covid-19,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg