Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia sedia pinda undang-undang pelihara keharmonian kaum

Kerajaan akan timbang tingkat hukuman bagi kekang ucapan, perbuatan berbaur perkauman sekiranya keadaan mendesak
Dec 11, 2024 | 5:32 PM
Timbalan Menteri Perpaduan Malaysia, Datuk K Saraswathy.
Timbalan Menteri Perpaduan Malaysia, Datuk K Saraswathy. - Gambar BERNAMA

Kerajaan Malaysia bersedia meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan hukuman terutama dalam mengekang ucapan atau perbuatan provokasi yang menjejas keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di negara itu, sekiranya keadaan mendesak.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Perpaduan, Datuk K Saraswathy, berkata buat masa ini kerajaan Malaysia tidak melihat keperluan untuk menggubal undang-undang baru seperti mewujudkan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) yang dikuatkuasakan di Singapura sejak 1990.

Ini kerana menurut beliau, undang-undang sedia ada di Malaysia sudah mencukupi untuk menangani isu provokasi yang mengganggu keharmonian penduduk berbilang kaum dan agama di negara itu.

“Pada masa ini undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.

“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan dan mencetuskan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa.

“Namun sekiranya keadaan mendesak, kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu disemak semula bagi mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan yang menimbulkan kebencian atau perbuatan provokasi yang memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman atau agama.

“Kalau penguatkuasaan sedia ada tidak mencukupi kita harus tingkatkan, kalau hukuman dikenakan tidak menjadi pengajaran, kita harus kaji untuk tingkatkan hukuman.

“Dalam keadaan terkawal dan kita punyai akta serta undang-undang yang mencukupi, satu lagi akta tidak akan melarang mereka mengulangi perbuatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong (Pulau Pinang), Encik RSN Rayer, mengenai adakah kerajaan bercadang menggubal Akta Keharmonian Agama bagi mengatasi masalah polemik kaum dan agama yang semakin berleluasa di Malaysia, di Parlimen pada 11 Disember.

Menjelaskan lanjut, Datuk Saraswathy berkata antara akta boleh digunakan adalah bagi kesalahan menghasut; kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan kesalahan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Selain itu, akta lain adalah bagi kesalahan menyebut perkataan atau melakukan perbuatan lain dengan niat hendak melukakan perasaan agama seseorang; kesalahan yang menyebabkan, atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Beliau turut membuat perbandingan yang mewajarkan keperluan untuk kerajaan Singapura mewujudkan MRHA bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara itu.

“Di bawah akta itu, satu majlis ditubuhkan untuk memelihara keharmonian kaum dan agama. Tetapi di Malaysia, kita ada satu kementerian yang menjaga keharmonian dan perpaduan... itu kelebihan kita,” katanya.

Datuk Saraswathy turut mengulangi peringatan agar masyarakat mengambil pendekatan menghujahkan sesuatu perkara dengan adab dan perkataan sesuai yang tidak menggores mana-mana kaum dan agama, termasuk ahli politik yang sepatutnya memahami kepentingan untuk memelihara perpaduan dan keharmonian negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg