Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuhyiddin: Bersatu tidak tinggalkan PN, sebaliknya diketepikan
Muhyiddin: Bersatu tidak tinggalkan PN, sebaliknya diketepikan
Presiden Bersatu dakwa hak parti sebagai pengasas gabungan dinafikan
Muhyiddin: Bersatu tidak tinggalkan PN, sebaliknya diketepikan
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan partinya tidak pernah mengambil keputusan untuk berpisah secara sukarela daripada Perikatan Nasional (PN).
Beliau sebaliknya mendakwa Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan dalam gabungan itu.
Beliau berkata Bersatu yang mengasaskan PN masih merupakan parti anggota yang sah, namun hak parti itu sebagai pengasas dan anggota gabungan berkenaan didakwa telah dinafikan.
“Saya kesal dengan tohmahan Tan Sri Annuar Musa terhadap Bersatu.
“Bersatu tidak mufarakah (berpisah) secara sukarela daripada Perikatan Nasional.
“Bersatu yang mengasaskan Perikatan Nasional, dan Bersatu masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Julai.
Tan Sri Muhyiddin berkata rundingan pembahagian kerusi pilihan raya antara PN dan Bersatu didakwa dihentikan tanpa alasan yang munasabah.
Beliau turut mendakwa Bersatu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota gabungan itu.
“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?,” katanya.
Mengulas dakwaan berhubung rundingan antara PN dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin berkata beliau tidak mempertikaikan rundingan tersebut kerana Pengerusi PN sendiri mengakui memberikan kebenaran untuk ia dijalankan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan perkara membabitkan kerjasama politik sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Majlis Tertinggi PN sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Dalam perkara dasar seperti ini, keputusan sepatutnya dibawa ke Majlis Tertinggi Perikatan Nasional terlebih dahulu.
“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi.
“Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat, barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin berkata sepanjang hampir lima tahun menerajui PN, beliau tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan, termasuk membabitkan hal dasar serta pembahagian kerusi pilihan raya.
Beliau mendakwa segala mesyuarat dan rundingan sebelum ini melibatkan semua parti anggota serta setiap keputusan dibuat secara teratur.
Dalam kenyataan sama, Tan Sri Muhyiddin turut menolak dakwaan bahawa Bersatu menjadi penghalang kepada usaha penyatuan orang Melayu.
“Tuduhan Tan Sri Annuar Musa kononnya Bersatu menghalang penyatuan Melayu adalah amat tidak bertanggungjawab.
“Saya menubuhkan Bersatu sebagai sebuah parti pribumi Melayu dan perjuangan saya untuk penyatuan Melayu tidak pernah padam,” katanya.
Beliau berkata pada peringkat awal penubuhan PN, beliau mencadangkan gabungan itu menjadi wadah yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk Umno, di samping parti pelbagai kaum.
Namun, menurutnya, Umno menolak untuk menyertai PN dan kemudian Ahli Parlimen parti itu bertindak menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin ketika itu.
Tan Sri Muhyiddin turut mendakwa perkembangan politik semasa menyaksikan Parti Islam SeMalaysia (PAS) memilih untuk mewujudkan kerjasama dengan Umno yang masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan (PH), menyebabkan hubungan dengan Bersatu terputus.
“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.
Walaupun mengakui perkembangan tersebut, Tan Sri Muhyiddin berkata Bersatu akan terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan agenda sendiri.
“Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.
