Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kabinet kerajaan Sabah dibentuk, gabungan utama 4 parti

Kerajaan Sabah dibarisi 3 timbalan ketua menteri, 7 menteri
Dec 1, 2025 | 5:42 PM
Sabah, Ketua Menteri, Angkat sumpah
Pengerusi Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor. - Foto FACEBOOK HAJIJI NOOR

KOTA KINABALU (Sabah): Kabinet baru kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, telah dibentuk dengan penyertaan pemimpin daripada beberapa blok politik termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Jemaah Menteri kerajaan Sabah dibarisi tiga timbalan ketua menteri dan tujuh menteri.

Tiga timbalan ketua menteri itu membabitkan gabungan dua pemimpin GRS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun; dan Adun Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Seorang lagi ialah Presiden Upko yang sebelum ini meletak jawatan sebagai menteri Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Datuk Ewon Benedick.

Barisan Kabinet baru Sabah itu telah mengangkat sumpah jawatan secara rasmi di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah, pada petang 1 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, Datuk Hajiji yang juga Pengerusi GRS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu.

Beliau telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri buat penggal kedua pada 30 November.

Keputusan PRN Sabah ke-17 menyaksikan tiada mana-mana blok politik yang memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

GRS menjadi blok politik terbesar memenangi PRN17 Sabah dengan menguasai 29 kerusi, manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 25 kerusi, diikuti BN dengan enam kerusi.

Selain itu lima kerusi dimenangi calon Bebas; Upko (tiga); Parti Solidariti Tanah Airku (Star – dua kerusi); manakala PH, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Parti Warisan yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal, sebelum ini pernah mentadbir kerajaan negeri Sabah selama dua tahun pada 2018 hingga 2020.

Terdahulu, pelbagai pihak menolak penyertaan BN dalam pembentukan pentadbiran baru kerajaan Sabah selepas PRN17.

Selain pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), turut menyuarakan bantahan ialah pergerakan Wanita Gagasan Rakyat dan Pergerakan Pemuda serta Wanita Upko.

Menerusi satu kenyataan, pergerakan Wanita Gagasan Rakyat menegaskan pendirian tiada keperluan dan kewajaran untuk membawa BN masuk ke dalam Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Datuk Hajiji.

Bantahan itu menyusuli penolakan BN untuk bekerjasama dengan GRS dalam menghadapi PRN17 itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi, sebelum ini menegaskan BN terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti untuk menghadapi PRN17 Sabah kecuali GRS.

Namun, sehari sebelum pengundian pada 28 November, Datuk Ahmad Zahid berkata BN sedia berunding dengan parti-parti tempatan untuk memastikan DUN Sabah tidak tergantung bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk usai PRN17.

Pada 1 Disember, Datuk Ahmad Zahid dilaporkan telah menyerahkan nama-nama calon untuk diangkat ke jawatan Timbalan Ketua Menteri dan menteri kerajaan negeri Sabah.

BN dan GRS diketahui merupakan parti seteru, mengambil kira sejarah kededua parti itu dalam sejarah pembentukan kerajaan Sabah sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg