Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lima tahun mengetuai pakatan pembangkang itu bermula 2020.
Pengunduran Tan Sri Muhyiddin itu turut mencetuskan peletakan jawatan beberapa pemimpin PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selang beberapa jam, langkah yang dilihat seakan-akan terancang dan berkemungkinan memberi kesan mendalam terhadap kestabilan gabungan itu.
Pengunduran Presiden Bersatu itu daripada mengemudi PN berlaku ketika ketegangan dalam blok politik itu memuncak dengan rakan gabungan – Parti Islam SeMalaysia (PAS) mahu mengambil alih pucuk pimpinan PN sejak seminggu lalu.
“Saya telah memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PN kerana memberi sokongan sepanjang lima tahun kepimpinan saya. Saya mengucapkan yang terbaik untuk kepimpinan PN dan semua parti yang membentuknya,” kata Tan Sri Muhyiddin dalam kenyataan pada 30 Disember.
Antara pemimpin lain yang turut meletak jawatan ialah Setiausaha Agung PN merangkap Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Shahruddin Jamal; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Encik Mohamad Hanifah Abu Baker.
Setakat ini, Timbalan Pengerusi PN merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai peletakan jawatan.
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Tan Sri Muhyiddin. Maka, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026,” tulis Datuk Azmin di Facebook, sambil memaklumkan turut meletak jawatan Pengerusi PN Selangor.
Ketika ini tumpuan terarah kepada siapa yang akan menjadi pengganti Tan Sri Muhyiddin dan mengetuai pakatan pembangkang yang akan berdepan gabungan politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang dijangka selewat-lewatnya awal 2028.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan parti itu sedang menimbangkan beberapa nama untuk dicadangkan sebagai Pengerusi PN yang baru dan menegaskan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.
Ketua Penerangan PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari, pula berkata pemimpin parti itu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti di bawah perikatan terbabit dan ia tidak semestinya diwakili Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pergeseran politik antara Bersatu dan PAS dilihat semakin ketara selepas berlaku peralihan kuasa menteri besar ‘secara paksa’ daripada PAS kepada Bersatu baru-baru ini, yang turut dikaitkan sebagai titik permulaan gelombang peletakan jawatan pemimpin PN itu.
PAS sebelum ini secara terbuka menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu sebagai ‘pengkhianat’ dan bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Perlis dipimpin PN, termasuk peletakan jawatan menteri besar oleh Adun Sanglang daripada PAS, Encik Mohd Shukri Ramli.
Tuduhan itu timbul selepas lima Adun Bersatu bersama tiga Adun PAS didakwa menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menarik balik sokongan terhadap menteri besar, Encik Mohd Shukri.
Menyusuli itu, PAS pada 24 Disember menggugurkan keahlian tiga Adun PAS terbabit atas dakwaan melanggar lafaz bai‘ah, langkah yang berpotensi mencetuskan pilihan raya kecil (PRK).
Sebaliknya, Bersatu tidak mengambil tindakan terhadap lima Adun terlibat, malah mengemukakan calon menteri besar daripada parti itu sehingga membawa kepada pelantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Encik Abu Bakar Hamzah, sebagai menteri besar baru.
Perkembangan tersebut terus menyemarakkan ketegangan dalam PN, dengan PAS mengeluarkan kenyataan berunsur sindiran terhadap Bersatu serta menggesa agar gabungan itu diterajui oleh PAS, berikutan dakwaan kelemahan kepimpinan Bersatu mengawal wakil rakyatnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg