KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Rompin (Pahang), Datuk Abdul Khalib Abdullah, mengesahkan perkhidmatannya sebagai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang telah ditamatkan.

Surat penamatan dari pejabat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diterima beliau pada 7 April lalu.

“Ya, betul... saya mendapat surat daripada Tan Sri Presiden, penamatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Pahang.

“Mengikut surat yang saya terima, penamatan jawatan saya sebenarnya berkuat kuasa pada 10 Mac 2026,” katanya, lapor portal berita Malaysiakini.

Sebelum ini, nama Datuk Abdul Khalib berada dalam senarai 18 AP Bersatu yang dikatakan menyokong mantan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Datuk Hamzah, yang juga AP Larut (Perak), dipecat daripada parti pada 13 Februari lalu, kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti.

Selain Datuk Abdul Khalib, antara AP lain yang menyokong Datuk Hamzah termasuk AP Beluran (Sabah) yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee; AP Tasik Gelugor (Pulau Pinang), Datuk Wan Saiful Wan Jan; dan AP Machang (Kelantan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Datuk Abdul Khalib dilantik sebagai Ketua Bersatu Pahang pada Februari 2025, menggantikan AP Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, sebelum dilantik pula sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang pada 11 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Datuk Abdul Khalib menerima penamatan khidmatnya dengan hati terbuka.

“Pelantikan sebagai Ketua Bersatu negeri ini adalah hak prerogatif Presiden, jadi Presiden berhak melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai,” tegasnya.

Ditanya sama ada jawatan itu sudah diisi oleh pemimpin Bersatu Pahang yang lain, beliau memaklumkan belum ada maklumat mengenainya.

“Buat masa sekarang, rasanya belum ada lantikan lagi... soal pemangku sementara ini, saya tak tahu,” ujarnya.

Datuk Abdul Khalib tidak menolak kemungkinan tindakannya menyokong Datuk Hamzah menjadi punca penamatan itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan dirinya masih ahli Bersatu, meskipun tidak lagi mengetuai parti itu di Pahang.

“Saya masih ahli Bersatu, tidak dipecat, cuma ditamatkan sebagai Ketua Bersatu Pahang.

“Ia tidak menjejaskan PN Pahang secara umumnya. PN Pahang tidak ada masalah, yang bermasalah ialah Bersatu,” jelasnya.

Selain Datuk Abdul Khalib, Bersatu mempunyai dua lagi wakil rakyat di Pahang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin, dan Adun Lepar, Encik Mohd Yazid Mohd Yunus.