Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Murid 12 tahun maut kena renjatan elektrik di sekolah

Dec 19, 2024 | 1:28 PM
Muhammad Harith Mohd Fazrul, 12 tahun, maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sekolah dekat Serdang, Selangor.
Muhammad Harith Mohd Fazrul, 12 tahun, maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sekolah dekat Serdang, Selangor. - Foto FACEBOOK PEMBACA MAJORITI

SERDANG (Selangor): Seorang murid lelaki Tahun 6 maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika berada di sebuah sekolah di Serdang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Serdang, Penolong Pesuruhjaya A.A. Anbalagan, berkata mangsa, Muhammad Harith Mohd Fazrul, dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 6.50 petang pada 18 Disember.

Beliau berkata laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira 6.30 petang.

“Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Disember, lapor portal berita Majoriti.

Menurut Encik Anbalagan, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau pada masa sama berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, beberapa warga maya yang mengenali mangsa turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarganya.

“Sayu, sebak, marah dan macam-macam perasaan pun ada apabila mendengar luahan daripada ibu mangsa. Tiada ucapan atau ungkapan boleh ubati perasaan pilu seorang ibu yang masih terkejut menerima berita kehilangan anak.

“Arwah merupakan darjah (tahun) 6 dan belum akil baligh pun lagi, baru saja selesai jadi imam untuk murid darjah 5 sebelum kejadian.

“Arwah meninggal disebabkan renjatan elektrik di dalam sekolah yang tidak sepatutnya berlaku. Kejadian ini telah menjadi kes polis dan telah meragut nyawa seorang pelajar,” tulis seorang pengguna Facebook, Nadirah Shariff.

Mangsa difahamkan disembahyangkan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan UPM pada 19 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg