Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja maut ketika cas telefon dalam bas: Soket pengecas tidak tertakluk pemeriksaan keselamatan

Nov 5, 2024 | 6:00 PM
Seorang remaja lelaki maut selepas tangan kirinya melecur teruk akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang, pada 1 November.
Seorang remaja lelaki maut selepas tangan kirinya melecur teruk akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang, pada 1 November. - Foto ihsan pembaca BERITA HARIAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Soket mengecas telefon bimbit yang terdapat di dalam bas ekspres, persiaran dan pelancongan, tidak termasuk dalam senarai pemeriksaan keselamatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Malaysia (Puspakom).

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Encik Mahmood Razak Bahman, memberi penjelasan itu susulan kes kematian seorang remaja berusia 18 tahun, yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya pada soket pengecas yang terdapat dalam bas persiaran berkenaan.

Jelas Encik Mahmood satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan lanjut terkait punca kematian remaja lelaki, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, yang melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon pada soket pengecas dalam bas terbabit, pada 1 November lalu.

Dalam kejadian di Terminal Bas Penang Sentral, Pulau Pinang, ketika bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, menyebabkan tangan kiri remaja itu melecur teruk lalu meninggal dunia.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat yang juga dikenali sebagai Apad telah menggantung perkhidmatan bas terbabit, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan audit teknikal kenderaan itu bagi mengenal pasti punca renjatan elektrik.

“Kita akan sediakan laporan berhubung punca kejadian. Kami tidak akan membuat spekulasi mengenainya. Kami akan mematuhi sebarang keperluan untuk pemeriksaan seperti yang kami ada sejak 30 tahun lalu,” katanya, lapor The Star.

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata pihaknya mungkin melakukan semakan terhadap pemeriksaan keselamatan kenderaan bas persiaran dan pelancongan, berikutan kematian remaja malang itu.

“Semakan sistem elektrik kenderaan itu akan bergantung kepada penemuan pasukan petugas khas. Kami perlu memastikan fakta terlebih dahulu untuk menentukan sama ada menggunakan USB (Universal Series Bus) adalah puncanya. Sebab itu kami menubuhkan pasukan petugas untuk menentukan punca kejadian,” jelasnya.

Encik Loke berkata masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian kerana bas yang terbabit dalam kejadian masih belum diperiksa sepenuhnya.

“Kami akan mengenal pasti punca kejadian dan akan mengkaji semula langkah keselamatan dari situ,” katanya sambil menambah, pasukan petugas diberi masa dua minggu untuk menyelesaikan siasatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg