Banjir di Pantai Timur memburuk dengan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dan meningkat mendadak kepada 11,838 orang daripada 3,527 keluarga setakat 4 petang, 27 November.
Jumlah itu adalah sebahagian besar keseluruhan 13,819 mangsa membabitkan 4,169 keluarga yang terjejas banjir di Terengganu dan Johor, selain Kelantan.
Menurut kemas kini portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sejumlah 157 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Kedah dan Perlis.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada mangsa banjir di Perak, Kedah dan Perlis, berpindah ke PPS. Penduduk diingatkan agar peka dengan situasi semasa berikutan paras sungai di beberapa kawasan di tiga negeri itu mula melimpah menyebabkan kediaman kian dinaiki air.
Di Kelantan saja, sebanyak 94 PPS dibuka di sembilan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, serta Jeli, sebaik dilanda musibah banjir.
Terengganu pula memindahkan seramai 1,933 mangsa daripada 627 keluarga ke 59 PPS membabitkan enam daerah terjejas iaitu Besut, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu.
Johor hanya mencatatkan sebilangan kecil mangsa iaitu seramai 28 orang daripada lapan keluarga di daerah Segamat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam hantaran di Facebook mengingatkan mereka yang berada di kawasan berisiko banjir supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Datuk Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Malaysia, meminta orang ramai tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa terutama dalam situasi tidak menentu ketika ini.
Sementara itu kejadian malang terkait banjir menimpa seorang paderi yang ditemui lemas dalam keretanya yang terbabas ke dalam parit di Kapit, Sarawak, manakala seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di kediamannya yang dinaiki banjir di Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam kejadian di Kapit itu, kejadian menimpa Encik Bangau Amping, 75 tahun, hanya disedari orang awam sebaik banjir kilat akibat limpahan Sungai Batang Rajang mulai surut, kira-kira 7.15 pagi.
Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit berada di tempat kejadian, namun arus sangat deras pada awalnya menyukarkan anggota untuk memeriksa kenderaan.
Selepas dihampiri, didapati seorang lelaki terperangkap di dalamnya.
“Anggota bomba memecahkan cermin kenderaan dan mengikat badan mangsa menggunakan tali untuk mengeluarkannya.
“Selepas berjaya dikeluarkan, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan di dalam kenderaan mengesahkan hanya mangsa berada dalam kereta itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Dalam kejadian di Pasir Puteh pula, mangsa berusia 33 tahun terkena renjatan elektrik kira-kira 4.30 pagi pada 27 November, dipercayai ketika mahu menutup suis mesin basuh yang berada di depan rumahnya, sebelum terjatuh ke sungai bersebelahan rumahnya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata ketika kejadian, kediaman mangsa sudah dilanda banjir dan arus deras menyebabkan mayat mangsa ditemui kira-kira 5.30 pagi dalam keadaan tersangkut di pokok bunga yang terletak beberapa meter dari tempat kejadian.
Dalam kejadian berasingan di Kuala Krai, Kelantan, pula, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menggunakan bot untuk membawa jenazah seorang warga emas selepas laluan ke kubur ditenggelami air sedalam dua meter, pada tengah hari 27 November.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz, berkata Allahyarhamha Faizah Ismail, 74 tahun, meninggal dunia di rumahnya akibat angin ahmar dan sakit tua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg