JOHOR BAHRU: Seorang murid Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, 10 tahun, mengharumkan nama Johor dan Malaysia selepas meraih tempat pertama dalam pusingan kelayakan Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar.

Murid Kelas 4 Sapphire dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara itu sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir dunia, The Hippo World Finals, yang dijadualkan berlangsung di Spoleto, Italy, pada Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata kejayaan Wan Harriz membuktikan kemampuan murid Johor untuk bersaing dalam pertandingan bahasa di peringkat antarabangsa.

“Satu lagi khabar membanggakan buat warga pendidikan Johor.

“Wan Harriz telah mengharumkan nama Johor dan Malaysia apabila berjaya meraih tempat pertama dalam pusingan kelayakan Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar.

“Susulan kejayaan itu, beliau layak mara ke pusingan akhir dunia, The Hippo World Finals, yang akan berlangsung di Spoleto, Italy, pada Oktober nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Ogos.

Pertandingan tersebut merupakan pertandingan Bahasa Inggeris antarabangsa bagi murid dan pelajar yang berusia antara enam dengan 19 tahun.

Menurut Dr Muhammad Naqib, pertandingan itu disertai lebih 90,000 peserta dari lebih 70 negara dan diselaraskan dengan Rangka Rujukan Bersama Eropah untuk Bahasa (CEFR).

Peserta dinilai dalam beberapa aspek penguasaan Bahasa Inggeris termasuk membaca, menulis, mendengar, bertutur dan tatabahasa.

Sebanyak 14 peserta mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan di Doha, termasuk dua wakil Malaysia.

Wan Harriz menduduki tempat pertama, diikuti peserta dari Arab Saudi di tempat kedua dan Kyrgyzstan di tempat ketiga.

Dr Muhammad Naqib berkata pencapaian Wan Harriz turut mencerminkan matlamat Teras 1 SRBJ yang memberikan penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

SK Tasek Utara merupakan antara sekolah yang dipilih dalam pelaksanaan SRBJ, yang memberikan penekanan kepada peningkatan mutu pendidikan serta penguasaan kemahiran murid.