Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Murtabak Singapore Dari Rumah’ penuhi idam pelanggan di M’sia

Jun 9, 2024 | 5:30 AM
Pemilik perniagaan ‘Murtabak Singapore Dari Rumah’, Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, menunjukkan martabak yang dijual di kedainya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Pemilik perniagaan ‘Murtabak Singapore Dari Rumah’, Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, menunjukkan martabak yang dijual di kedainya di Taman Melawati, Kuala Lumpur. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, tidak pernah menyangka bahawa pengalaman dua tahun bekerja di sebuah restoran martabak terkenal di North Bridge Road, Singapura, menjadi pembuka jalan untuk beliau terlibat dalam dunia perniagaan dengan menjual martabak di Kuala Lumpur.

Dengan jenama ‘Murtabak Singapore Dari Rumah’ (MSDR) yang diusahakannya sejak 2020, anak kelahiran Johor itu kini boleh berbangga kerana martabak hasil air tangannya ‘lulus’ ujian apabila sering mendapat pujian ramai pelanggan, terutama yang datang dari negara asal makanan istimewa itu.

Beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Isnin, perniagaan MSDR seolah-olah satu mimpi lantaran beliau sebenarnya pernah bekerja selama tujuh tahun dalam industri gas dan minyak di sebuah syarikat cari gali minyak di Singapura, kata Encik Daniel.

“Segalanya bermula selepas pandemik Covid-19. Saya tidak dapat ke Singapura untuk bekerja kerana kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu pula saya baru berkahwin dan wang dalam tangan hanya tinggal RM500 ($143).

Martabak dihasilkan peniaga, Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, bukan saja menjadi buah mulut pelanggan dari Malaysia, bahkan pelanggan Singapura yang mengunjungi Kuala Lumpur.
Martabak dihasilkan peniaga, Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, bukan saja menjadi buah mulut pelanggan dari Malaysia, bahkan pelanggan Singapura yang mengunjungi Kuala Lumpur. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

“Dari situlah tercetusnya idea untuk berniaga. Oleh kerana saya pernah bekerja di restoran martabak popular di Singapura dan ada pengalaman, jadi saya putuskan untuk menjual martabak. Maka, bermulalah perniagaan ‘Murtabak Singapore Dari Rumah’ (MSDR),” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di kedainya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Bijak menggunakan kuasa media sosial sebagai medium promosi dan pemasaran, Encik Daniel berjaya menarik perhatian pelanggan bukan saja dengan keletahnya yang lucu dan bersahaja, tetapi juga keenakan rasa martabak ala Singapura dijualnya itu turut mengundang cakapan pelanggan.

Pemilik perniagaan ‘Murtabak Singapore Dari Rumah’, Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, menunjukkan martabak yang dijual di gerainya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Pemilik perniagaan ‘Murtabak Singapore Dari Rumah’, Encik Mohd Daniel Shukor, 34 tahun, menunjukkan martabak yang dijual di gerainya di Taman Melawati, Kuala Lumpur. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

“Saya mulakan perniagaan ini dari rumah secara kecil-kecilan, kemudian berpindah ke kedai di Taman Keramat, Kuala Lumpur dan kini alhamdulillah dapat berniaga di kedai yang lebih besar dan selesa di Taman Melawati, berkongsi dengan seorang sahabat yang menjual nasi lemak.

“Walaupun lokasi kedai terletak di pinggir bandar, saya terharu kerana pelanggan bukan saja datang dari Lembah Klang, malahan ramai sanggup menempuh perjalanan berjam-jam termasuk dari Singapura, serta serata Malaysia untuk merasai sendiri MSDR dan melepas kerinduan menikmati rasa martabak asli Singapura,” katanya.

Biarpun perniagaannya dilihat berjaya dengan ratusan keping martabak terjual setiap hari, realistik dengan cabaran media sosial yang bermacam ragam, Encik Daniel mengakui tidak kurang hebat cabaran berdepan kata-kata sindiran dan kurang elok daripada pengguna media sosial.

Namun menurutnya yang terus aktif berinteraksi secara langsung dengan pelanggan di TikTok, sokongan pelanggan, terutama pujian seorang pelanggan Singapura ketika beliau mula bertapak dulu, menjadi pembakar semangat untuk terus cekal memajukan MSDR.

“Orang ramai mungkin nampak perniagaan saya cepat naik terutama selepas tular di media sosial, tetapi cabarannya tetap ada. Pendek kata dalam 10 yang memuji, pasti ada 10 juga yang mengeji, walaupun tidak diketahui apa puncanya.

“Saya anggap segala ini asam garam dunia perniagaan. Setiap kali rasa down, saya akan kenang semula sokongan dan pujian pelanggan, terutama kata-kata seorang pelanggan Singapura yang paling berbekas di hati – ‘martabak kamu mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak dulu’.

“Menurut pelanggan itu, beliau tidak sangka boleh menemui martabak Singapura di MSDR yang sama keaslian rasanya seperti di restoran popular Singapura,” katanya yang kerap menziarahi ibunya yang bekerja di sebuah hotel di Singapura.

Mengembangkan perniagaan dengan turut menjual martabak sejuk beku, Encik Daniel berkata beliau bercita-cita membuka restoran menjual pelbagai menu Singapura di Kuala Lumpur kelak, selepas ibunya yang berasal dari Singapura bersara dan kembali ke Malaysia.

Ketika BM menemubual, seorang pelanggan dari Holland Road, Singapura, tetapi kini menetap di Kuala Lumpur, Cik Fadhlon Alkaff, 65 tahun, dan suaminya, singgah selepas secara kebetulan melalui kawasan itu dan terhidu bau martabak Singapura.

“Saya tak pernah rasa MSDR ini, tetapi dari baunya saja sudah terpikat. Dari bau pun kita boleh tahu ini martabak asli Singapura kerana ia tak sama dengan martabak Malaysia yang agak kuat bau rempahnya dan agak basah.

“Saya memang suka tengok anak muda semangat berniaga. Jadi mengapa tidak kita sokong,” katanya sambil menambah MSDR mengubati rindunya terhadap martabak Singapura yang kaya dengan keaslian rasa tersendiri.

“Martabak Malaysia juga sedap. Cuma resipinya berbeza berbanding martabak Singapura yang lebih kering, bersaiz besar dan mewah dengan taburan daging. Kita raikan kepelbagaian dan keistimewaan setiap makanan itu,” katanya.

Pegawai bank, Encik Saiful Azman Mohd Ghazali, 39 tahun, pula merupakan pelanggan setia MSDR dan akan ke kedai Encik Daniel setiap minggu bersama keluarga untuk menikmati keenakan martabak Singapura.

“MSDR memang rasa martabak asli Singapura, bukan martabak Singapura ‘celup’ seperti yang banyak dijual di bazar Malaysia ketika Ramadan,” katanya yang berasal dari Johor dan kini menetap di Kuala Lumpur.

Cik Zaimah Omar, 64 tahun, pula baru pulang dari bercuti di Singapura dan merindui keenakan martabak Singapura yang pernah dirasainya.

“Saya Google dan jumpa MSDR, lalu datang ke sini. Alhamdulillah sedap... dah tak kempunan lagi,” katanya ketawa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg