JOHOR BAHRU: Harga sayur-sayuran di Malaysia dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus, susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau musim tengkujuh yang kini bermula.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Encik Lim Ser Kwee, berkata keadaan cuaca buruk dijangka menyebabkan bekalan sayuran berkurangan sehingga 15 peratus di negeri-negeri terjejas terutamanya di kawasan rendah.
Katanya, ia berikutan pengeluaran hasil yang tidak seperti biasa, susulan hujan yang terlalu lebat menyebabkan sayuran tidak menjadi, selain kebun serta ladang di kawasan rendah mungkin ditenggelami air banjir.
“Kita jangkakan kenaikan harga sayuran antara 20 hingga 30 peratus sayuran susulan musim tengkujuh yang mula melanda seluruh negara.
“Bagaimanapun, kenaikan harga sayuran ini tidak terlalu signifikan kerana ketika ini harga sayuran berada pada tahap rendah dan murah.
“Sawi umpamanya hanya dijual pada pemborong pada harga 80 sen satu kilogram (kg), jika berlaku kenaikan 20 hingga 30 peratus pun kenaikan harganya minimum.
“Pengusaha pun risau jika hujan terlalu lebat dan berlaku banjir yang menenggelamkan kebun dan ladang sayur antara November hingga Mac nanti, sudah pasti kenaikan harga akan lebih tinggi dan bekalan sayuran pasti akan lebih terjejas,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada 1 November lalu, memaklumkan bahawa MTL 2024/2025 atau lebih disebut sebagai musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 6 November dan berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dilaporkan berkata mengikut ramalan pihaknya, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.
Fasa awal MTL dalam tempoh dua bulan ini mengakibatkan kejadian hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Sementara pada Januari dan Februari, kejadian hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Encik Lau Weng Soon, berkata kualiti sayuran biasanya akan terjejas dengan hasil pengeluaran berkurangan, jika keadaan hujan terlalu lebat.
“Bagaimanapun, banyak kebun dan ladang sayuran baru yang dibuka di Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini dan kita harapkan impak MTL tidak terlalu menjejaskan bekalan sayuran dari tanah tinggi ini.
“Kebanyakan ladang dan kebun sayuran yang lebih terjejas semasa MTL adalah di negeri tanah rendah seperti Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang, berikutan kebimbangan berlaku banjir,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg