Keadaan banjir di kawasan utara Malaysia bertambah buruk dengan seramai 4,167 mangsa daripada 1,288 keluarga dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri terlibat iaitu Kedah, Perlis dan Perak, selain Pahang, Johor dan Sarawak.
Kedah paling teruk terjejas apabila setakat 1 petang 11 Oktober, seramai 3,390 mangsa daripada 1,060 keluarga terpaksa berlindung di 21 PPS di empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.
Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Perlis menunjukkan sedikit pertambahan jumlah mangsa, iaitu seramai 487 orang daripada 154 keluarga yang berpindah ke empat PPS di dua daerah iaitu Arau dan Kangar.
Di Perak, banjir di negeri itu semakin pulih dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 136 mangsa daripada 40 keluarga yang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Kerian.
Pahang pula menyaksikan seramai 70 mangsa daripada 12 keluarga telah dipindahkan ke satu PPS di Cameron Highlands yang turut dilanda tanah runtuh.
Di Sarawak pula, jumlah mangsa yang terjejas di daerah Betong kekal dengan 67 mangsa daripada 19 keluarga di satu PPS.
Johor semakin pulih daripada banjir dengan hanya 17 mangsa daripada tiga keluarga masih berada di satu PPS di daerah Batu Pahat.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan pada 11 Oktober, mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri.
Menurut MetMalaysia, cuaca itu diramal melanda negeri Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Sarawak.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, berkata sistem amaran banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) akan ditambah baik.
Menurutnya, sistem pintasan kecemasan akan diwujudkan segera bagi memberi amaran bencana terbabit menerusi pesanan tetingkap timbul (pop-up alert) yang dihantar ke telefon pintar.
Beliau berkata kaedah itu telah dilaksanakan di beberapa negara dan mereka tidak lagi bergantung kepada sistem pesanan ringkas atau siren semata-mata.
Dalam pada itu Berita Harian Malaysia di Johor Bahru melaporkan harga sayur meningkat antara 10 dengan 20 peratus sejak minggu lalu, susulan fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh Malaysia.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Encik Lim Ser Kwee, berkata keadaan cuaca buruk menyebabkan bekalan sayur berkurangan sehingga 15 peratus, berikutan pengeluaran hasil di ladang terjejas termasuk faktor banjir.
Menurutnya, kenaikan harga sayur berikutan bekalan yang terjejas dijangka berterusan sehingga musim MTL, pada November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg