Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Moh’ (ayuh) lawat Negeri Sembilan negeri beradat

Lembaga Pelancongan mantapkan tarikan sebagai persiapan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026
Nov 17, 2024 | 5:30 AM
Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, yang indah dengan pasir memutih dinobatkan sebagai Pantai Peranginan Negara dan sering sesak dengan pelancong pada cuti hujung minggu.
Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, yang indah dengan pasir memutih dinobatkan sebagai Pantai Peranginan Negara dan sering sesak dengan pelancong pada cuti hujung minggu. - Foto LEMBAGA PELANCONGAN NEGERI SEMBILAN

Kedudukannya diapit antara negeri Melaka dengan Kuala Lumpur yang tidak asing bagi pelancong Singapura, namun Negeri Sembilan sebaliknya agak kurang terkenal dalam kalangan pelancong luar.

Walhal, negeri yang kaya dengan adat perpatih dan tradisi Minang itu sangat unik dan istimewa, serta menjanjikan pengalaman menarik.

Jika disebut Negeri Sembilan, apa yang terlintas di fikiran selalu adalah amalan adat perpatih dalam kalangan penduduknya yang masih dipegang erat sehingga kini.

Dalam konteks masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan, terdapat 12 suku iaitu Biduanda, Batu Hampar, Mungkal, Seri Lemak, Paya Kumboh, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.

Pakaian tradisi dan rumah berbumbung panjang bermotifkan Minangkabau pengaruh daripada negara seberang, selain makanan gulai lemak cili api atau dipanggil gulai kuning oleh penduduk Negeri Sembilan, tidak kurang menariknya.

Malah, disebabkan popular dengan masak lemak cili api yang terkenal dengan rasa pedasnya terutama bagi menu salai seperti daging, ikan keli, itik dan ayam salai, Bunga Lado diangkat sebagai identiti unik Negeri Sembilan.

Lado adalah dialek Negeri Sembilan yang bermaksud lada atau cili.

Pengurus Pembangunan Produk dan Perkhidmatan, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Encik Anuar Yaakob, berkata umum sedia maklum, lada api adalah bahan utama yang wajib diletakkan dalam setiap masakan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan.

“Namun, di sebalik rasa pedas cili api itu, ia mekar dengan bunga sebelum menjadi buah lada yang punya tarikan tersendiri.

“Justeru, sebagai simbolik dan identiti masakan pedas yang sinonim dengan Negeri Sembilan, bunga lada membina identiti negeri ini,” katanya ketika ditemubual Berita Minggu di pejabatnya di Negeri Sembilan.

Menurutnya, dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Negeri Sembilan pada 2026, pihaknya sudah memantapkan tarikan pelancongan yang ada untuk menerima kehadiran pelancong dalam skala besar.

Encik Anuar berkata usaha memartabatkan variasi produk pelancongan di Negeri Sembilan dibuat dengan memperkenalkan pakej Pesona Negeri Sembilan yang mengangkat sembilan produk utama sebagai ikon pelancongan di tujuh daerah di negeri itu.

Tujuh daerah terbabit terdiri daripada Seremban, Jempol, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Rembau dan Jelebu. Setiap daerah menyimpan khazanah tarikan yang mahal kerana tinggalan sejarahnya.

Namun jelasnya ia tidak bermakna produk pelancongan lain dipinggirkan, sebaliknya ia adalah sokongan kepada produk sedia ada di Negeri Sembilan.

Dengan itu, pelancong tidak hanya tertumpu di pusat peranginan Port Dickson mahupun Seremban sebagai ibu negerinya.

Selain popular dengan pantai yang cantik dan bersih untuk mandi manda di Port Dickson yang dinobatkan Pantai Peranginan Malaysia sebagai tarikan utama pelancongannya, daerah itu juga terkenal sebagai satu-satunya bandar tentera darat dan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Port Dickson juga diiktiraf sebagai zon mesra kesihatan kerana kemudahan rekreasi yang tersedia mesra untuk setiap peringkat usia termasuk warga emas.

“Jika ke Port Dickson, jangan lupa melawat PD Forest Sungai Menyala, iaitu hutan simpan kekal yang masih mengekalkan plot asal hutan dan meriah dengan aktiviti menjala ikan di sungai.

“Selain itu, kita juga mempunyai Muzium Tentera Darat yang wajib dikunjungi, Kota dan Muzium Lukut, Pusat Ikan Hiasan, Medan Ikan Bakar dan Jeti Telok Pelandok,” katanya.

Bagi pengunjung yang mahu meneroka bandar Seremban, antara lokasi wajib kunjung ialah Masjid Seri Sendayan, Lorong Seni Seremban, Dataran Nilai dan Muzium Negeri Sembilan.

Di Seremban juga ada Temiang ByPass yang menjanjikan pemandangan menghijau dan membuatkan pengunjung berasa bagai berada di negara bermusim sejuk seperti New Zealand. Tempat ini pernah tular lantaran ramai pemandu mengabadikan kenangan di sini.

Negeri Sembilan juga menjanjikan pengalaman eko-pelancongan yang menakjubkan daripada hutan lipurnya yang masih segar dan terpelihara seperti Taman Eko Rimba Kenaboi, Jeram Tengkek, Bukit Senaling, selain aktiviti riadah tradisional seperti Pesta Bola Ngoca.

Pesta Bola Ngoca kini menjadi acara pelancongan tahunan di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah. Ngoca merupakan perkataan dialek Negeri Sembilan yang bermaksud menangkap ikan menggunakan peralatan seperti jala, tangguk atau penapis plastik.

Jika pengunjung inginkan pengalaman bermain lumpur dan mandi di parit, jangan lepaskan peluang untuk menyertai Pesta Bola Ngoca yang lazimnya diadakan sekitar September. Pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan.

Di Kuala Pilah juga terletaknya Istana Lama Seri Menanti di Bandar Diraja Seri Menanti. Istana ini adalah binaan ikonik lambang institusi beraja di Negeri Sembilan. Uniknya ia dibina tanpa menggunakan paku besi, sebaliknya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak.

Daerah Rembau dan Tampin, yang masing-masing memakan masa kira-kira setengah jam dan satu jam setengah perjalanan dari Seremban pula menawarkan lawatan bermakna dan bersejarah di Muzium Kereta Api Gemas. Di sini ditempatkan kereta api lama berusia lebih 100 tahun.

Selain itu Tampin Extreme Park, Tampin Water Park dan Gunung Tampin Banjaran Titiwangsa antara pengembaraan menarik untuk pengunjung, kerana Gunung Tampin adalah titik hujung banjaran Titiwangsa dan amat sesuai untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak.

Namun pengalaman paling menarik ialah penginapan inap desa di sembilan perkampungan di seluruh negeri itu.

Dengan menginap di kampung ini, pengunjung dapat mempelajari adat resam dan budaya masyarakat Negeri Sembilan, selain peluang menikmati keenakan masakan orang lama dengan hidangan simbolik Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api.

Justeru, pelancong boleh memilih untuk menginap di Kampung Pelegong atau Kampung Rawa di Seremban; Kampung Kelawang, Kampung Sungai Buloh dan Kampung Pasoh di Jelebu dan Kampung Lonek di Jempol. Di Gemas pula terdapat Kampung Gemas, manakala Kampung Pachitan dan D’ Pelandok Best pula di Port Dickson.

Kata Encik Anuar, pelancong yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan panduan pelancongan yang menarik, dialu-alukan untuk mengunjungi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan di bandar Seremban, untuk memastikan pengalaman cuti-cuti di Negeri Sembilan yang menakjubkan. ‘Moh’ (ayuh) bercuti ke Nogori Sembilan!

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg