Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas bas di Pahang: Anwar sumbang RM40,000 kepada waris, keluarga

Jun 10, 2024 | 6:30 PM
Keadaan di lokasi kemalangan maut membabitkan bas persiaran membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka, dengan sebuah treler di Rompin, Pahang, pada awal pagi 9 Jun.
Keadaan di lokasi kemalangan maut membabitkan bas persiaran membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka, dengan sebuah treler di Rompin, Pahang, pada awal pagi 9 Jun. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT PAHANG

ALOR GAJAH (Melaka): Nasib waris dan keluarga empat mangsa yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin, Pahang, pada awal pagi 9 Jun, mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 ($11,470).

Sumbangan tunai RM10,000 kepada waris dan keluarga setiap empat mangsa terbabit disampaikan menerusi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang hadir menyantuni kesemua keluarga terbabit di Melaka.

Datuk Shamsul Iskandar berkata sumbangan itu adalah sebagai tanda keprihatinan Datuk Anwar dan kerajaan kepada keluarga yang diuji dengan ujian sangat berat, di samping turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga berkenaan.

“Datuk Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta sukarelawan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha membantu mangsa kemalangan.

“Kerajaan juga komited untuk terus berusaha memastikan keselamatan rakyat dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang pada masa depan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu beliau meluangkan masa bertanya khabar dan menyampaikan ucapan takziah daripada Perdana Menteri kepada keluarga Allahyarham Hasnatul Adilah Hassan, 48 tahun, yang juga Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka.

Beliau turut menziarahi keluarga guru SK Jeram, Allahyarham Dahlia Ahmad, 52 tahun, di Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah; keluarga Pembantu Operasi SK Jeram, Allahyarham Hamzah Ahmad, 60 tahun, di Kampung Londang dan keluarga pemandu bas, Allahyarham Hadi Asyraf Mad Idris, 29 tahun, di Padang Temu.

Nahas kira-kira 1.30 pagi pada 9 Jun itu dipercayai berlaku apabila bas persiaran membawa 39 penumpang termasuk guru SK Jeram dan dua pemandu itu hilang kawalan dan berlanggar dengan sebuah treler membawa muatan gelung besi, sebelum terbabas dan terbalik ke cerun jalan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Timbalan Pesuruhjaya Nor Azman Yusof, berkata seramai 12 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, Rompin; Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang; Hospital Segamat, Johor dan Hospital Melaka, Melaka.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram bersama anak mereka dari Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata pihaknya berdukacita terhadap insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghantar kaunselor untuk ke SK Jeram bagi memberi sokongan psikososial kepada rakan guru termasuk anak murid yang kehilangan guru dalam nahas itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg