Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN baru

Pelantikan dapat persetujuan 4 presiden parti komponen PN dalam mesyuarat pada 22 Feb 
Feb 23, 2026 | 2:08 PM

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ahmad Samsuri, PN, Pengerusi PN, pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar, Perikatan Nasional baru, Naib Presiden PAS Pengerusi PN, politik Malaysia 2026, Muhyiddin Yassin letak jawatan PN, kepimpinan Perikatan Nasional, Berita Harian Malaysia
Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dinamakan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru. - Foto FACEBOOK AHMAD SAMSURI MOKHTAR

Gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) menamakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Pengerusi PN baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Ahli Parlimen (AP) dan Adun Terengganu itu kini mengalihkan tumpuan kepada potensi peralihan jawatan Ketua Pembangkang.

Jawatan itu kini dipegang Ahli Parlimen Larut (Perak), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang baru dipecat daripada Bersatu, pimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin, pada 13 Februari lalu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor, pada 23 Februari, mengesahkan ketika ini Datuk Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Saya percaya, belum ada lagi hitam putih yang diusulkan daripada pihak pembangkang untuk menyatakan kekosongan itu.

“Ini (pemakluman kekosongan) perlu secara hitam putih dalam perspektif perundangan dalam Dewan Rakyat,” katanya menjawab soalan mengenai kedudukan Ketua Pembangkang yang dibangkitkan AP Jelutong (Pulau Pinang) daripada Pakatan Harapan, Encik RSN Rayer, ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Terdahulu, pelantikan Datuk Ahmad Samsuri, mendapat persetujuan empat presiden parti komponen PN iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS); Tan Sri Muhyiddin (Bersatu), Encik Dominic Lau (Parti Gerakan); dan Encik P Punithan, daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), dalam mesyuarat pada 22 Februari. 

Pemilihan Datuk Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baru menutup tirai polemik jawatan berkenaan yang dikosongkan Tan Sri Muhyiddin berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas lima tahun mengetuai PN sejak 2020.

Walaupun pelantikan Datuk Ahmad Samsuri itu dilihat melangkaui Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Terengganu itu mendapat sokongan penuh, termasuk daripada Datuk Hamzah, serta 18 AP lain yang bersama dengan mantan Timbalan Presiden Bersatu itu.

“Pelantikan ini merupakan konsolidasi bahawa PN benar-benar bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.

“Sebagai AP, kami terus menyokong PN yang dipimpin PAS selaku parti tunjangnya dan kami memberi sokongan penuh untuk Datuk Ahmad Samsuri memimpin gabungan ini,” kata Datuk Hamzah dalam satu kenyataan pada 22 Februari.

AP yang turut dinamakan dalam kenyataan sokongan itu termasuk Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (AP Beluran, Sabah), yang sebelum ini mendesak pengunduran Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu, dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (AP Masjid Tanah, Melaka) yang baru meletak jawatan Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, menyusuli pemecatan Datuk Hamzah.

Sementara itu, Datuk Ahmad Samsuri menyifatkan tanggungjawab baru yang digalasnya amat besar, berat dan mencabar, terutama dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN, untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Apa yang perlu disegerakan kini ialah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,” kata mantan Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Hadi itu.

Mantan Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin atas khidmat baktinya memimpin gabungan itu sejak mula penubuhannya, sehingga PN dapat bergerak cemerlang dan memenangi banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata keputusan memilih Datuk Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baru dibuat berasaskan rekod cemerlang mantan Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa UPM itu sebagai Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, Datuk Ahmad Samsuri dilihat paling layak memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman profesional dan rekod cemerlangnya apabila PN berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Negeri 2023.

“Pelantikan ini merupakan konsolidasi bahawa PN benar-benar bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara. Sebagai AP, kami terus menyokong PN yang dipimpin PAS selaku parti tunjangnya dan kami memberi sokongan penuh untuk Datuk Ahmad Samsuri memimpin gabungan ini.”
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg