Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS sahkan akan teraju PN, mesyuarat minggu depan putuskan pengerusi baru

Jan 2, 2026 | 4:46 PM
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto BERNAMA

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengesahkan parti itu akan menerajui Perikatan Nasional (PN), menyusuli peletakan jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi, berkuat kuasa 1 Januari.

Beliau berkata mesyuarat untuk menentukan calon Pengerusi PN yang baru akan berlangsung minggu depan yang dijangka turut dihadiri pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“PAS sudah buat keputusan untuk ambil alih kepimpinan PN. Mesyuarat mengenainya akan dibuat minggu depan dan Bersatu akan bersama-sama. 

“Calon Pengerusi insya-Allah daripada PAS dan kita akan tentukan dalam mesyuarat nanti,” katanya dalam temu bual bersama media di Terengganu yang turut dikongsi di Facebook beliau.

Ditanya sama ada beliau adalah calon pengganti yang dimaksudkan, Tan Sri Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen (AP) Marang (Terengganu) hanya tertawa.

“Memang saya ini orang kata dalam keadaan keuzuran, tetapi kita akan bincang dalam parti.

“Dalam PAS banyak (calon sesuai). Daripada kalangan ahli politik ada, agamawan, teknokrat pun ada,” katanya.

Tan Sri Abdul Hadi menjelaskan kemelut yang berlaku tidak menjejaskan hubungan baik PAS dan Bersatu.

“Hubungan PAS dengan Bersatu tetap baik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendirian PAS untuk kembali bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) yang pernah ditubuhkan sebelum ini, Tan Sri Abdul Hadi, berkata:

“Insya-Allah kita nak satukan orang Melayu Islam dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri pada 31 Disember mengumumkan peletakan jawatan selaku Pengerusi PN.

Peletakan jawatan beliau yang juga Presiden Bersatu dikaitkan dengan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan perubahan Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu.

Turut meletak jawatan dalam PN ialah Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Pengerusi PN Selangor, dan tiga lagi Pengerusi PN negeri iaitu Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Tan Sri Muhyiddin yang memegang jawatan Perdana Menteri kelapan selama 17 bulan, mengetuai PN memenangi 67 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15, pada November 2022.

Dalam perutusan Tahun Baru pada 2 Januari di Facebook, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN sebagai langkah strategik dan bukan tanda kelemahan.

Tan Sri Muhyiddin turut menegaskan beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai presiden.

“Walaupun saya tidak lagi memimpin PN, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.

“Sempena Tahun Baru ini, saya menyeru seluruh ahli Bersatu memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin berkata adakala dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.

“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.

“Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg