JOHOR BAHRU: Kerja menaik taraf tingkat dua Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Di medan selera pula, pengurusan terminal diminta menjelaskan rancangan pembaikan kepada peniaga dan mendengar pandangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata beliau meninjau terminal bas dan Pasar Awam Larkin Sentral susulan aduan orang ramai mengenai keadaan kemudahan di situ.

“Larkin Sentral ialah pintu masuk utama ke Johor Bahru dan nadi ekonomi peniaga kecil kita. Ia wajar berada dalam keadaan bersih, selesa dan membanggakan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan pada 17 November.

Di medan selera, Encik Mohd Hairi memeriksa kebersihan gerai makanan dan membincangkan rancangan menaik taraf kemudahan di situ. Beliau turut meninjau keadaan kipas, pencahayaan serta pengudaraan di ruang makan.

“Saya juga meminta pengurusan terminal mengadakan pertemuan dua hala dengan peniaga supaya mereka mendapat penjelasan mengenai kerja yang dirancang dan berpeluang menyuarakan pandangan tentang perubahan di medan selera,” katanya.

Tinjauan itu turut meliputi tandas lelaki dan wanita di medan selera.

Selain kebersihan dan kutipan bayaran daripada pengguna, beliau meneliti keadaan kemudahan tandas yang rosak, termasuk yang sengaja dirosakkan.

Bagi tandas di setiap tingkat, penutup mangkuk tandas, pintu dan lampu yang rosak antara kemudahan yang perlu dibaiki.

Beliau turut membincangkan usaha memperbaiki surau lelaki dan wanita bagi keselesaan jemaah.

Di terminal bas, perbincangan tertumpu pada keselesaan penumpang di ruang berlepas dan ketibaan.

Bagi kawasan jualan barangan kering, antara cadangan yang dibincangkan adalah untuk menceriakan ruang niaga untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Di pasar awam pula, perhatian diberikan kepada usaha memperbaiki ruang penyimpanan barang dan meningkatkan tahap kebersihan pasar bagi peniaga serta pengunjung.