Topik diikuti
Pergi ke BHkuNajib kekal di penjara, permohonan pengampunan ditangguh
Najib kekal di penjara, permohonan pengampunan ditangguh
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, kekal di penjara, selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September memutuskan untuk menangguhkan permohonan pengampunannya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri selepas mesyuarat itu, ia mengesahkan bahawa permohonan pengampunan Encik Najib telah ditangguhkan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 11 September itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Yang di-Pertuan Agong berkenan (bersetuju) supaya permohonan pengampunan Datuk Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini media melaporkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan bersidang pada 11 September akan membincangkan permohonan pengampunan Encik Najib, yang juga bekas Presiden Umno.
Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Agung Umno 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 11 September, melahirkan rasa sedih menyusuli penangguhan permohonan pengampunan bekas pemimpin Umno itu.
Bagaimanapun beliau berkata Umno menghormati keputusan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kami merayu supaya gunakan seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan terbaik.
“Kami tetap mendukung institusi Raja dan mengharapkan yang terbaik akan diberikan kepada Datuk Najib,” katanya.
Encik Najib, 73 tahun, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta ($13.07 juta) dana SRC International, sebuah syarikat yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu dikenakan hukuman denda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang mula dijalaninya di Penjara Kajang, Selangor, sejak 23 Ogos 2022.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta, yang akan menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Menyusuli pengurangan hukuman itu, Encik Najib mendakwa wujud perintah tambahan (Titah Adendum) daripada mesyuarat Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Bagaimanapun, usahanya memperjuangkan hukuman tahanan rumah itu tidak berjaya selepas Mahkamah Tinggi pada akhir 2025 memutuskan perintah tambahan itu tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia tidak pernah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
