Najib kini akui wang RM42j bukan derma Saudi
Beliau buat pengakuan dalam saman sivil yang difailkan SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, membuat pengakuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa wang RM42 juta ($13.35 juta) yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya tiada sebarang kaitan dengan derma dari Arab Saudi.
Bekas presiden Umno itu membuat pengakuan tersebut ketika disoal balas oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Encik Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.
“Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah derma dari Arab Saudi,” kata Encik Najib, lapor Harian Metro.
Encik Kwan: Pada fikiran anda – jika saya boleh menggunakan perkataan itu – pada ketika ini, adakah RM42 juta itu tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi?
Encik Najib: Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh kemudian, ya.
Terdahulu, Encik Kwan meminta Encik Najib mengakui bahawa pembelaan beliau berhubung ‘derma Arab Saudi’ telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah berkaitan pada 22 Januari.
Encik Kwan: Pembelaan anda (derma Arab Saudi) telah ditolak di semua peringkat mahkamah (dalam kes jenayah SRC International). Betul?
Encik Najib: Ya, tetapi saya perlu menjelaskan kerana saya tidak berpeluang memberikan penjelasan penuh di Mahkamah Persekutuan. Sebab itulah dalam prosiding semakan, salah seorang hakim – seorang hakim kanan bersetuju dengan pendirian kami. Dalam semakan itu, beliau memutuskan bahawa saya tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Encik Kwan: Secara keseluruhan, dapatan majoriti mengekalkan kesimpulan bahawa dana tersebut bukan derma Arab Saudi. Adakah betul?
Encik Najib menjawab: “Ya, malangnya begitu.”
Encik Najib turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi, dalam keputusan terbaru perbicaraan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memutuskan tiada bukti dokumentari yang menyokong pembelaan beliau berhubung ‘derma Arab Saudi’.
Saman sivil yang difailkan pada 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut satu pengisytiharan bahawa Encik Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan.
Selain itu, ia menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Encik Najib kini menjalani hukuman penjara sehingga Ogos 2028, selepas disabitkan bersalah atas tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International, pada 2022.

