Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, pada 6 Januari menang dalam rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kewujudan dan pelaksanaan perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang bersidang di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi pada 6 Januari memutuskan supaya kes Encik Najib itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.
Mahkamah menetapkan 13 Januari ini untuk menentukan tarikh perbicaraan.
Keputusan yang memihak kepada Encik Najib itu disambut dengan sorakan kesyukuran dan kegembiraan oleh ribuan penyokongnya, termasuk daripada pembangkang, yang berhimpun di sekitar Istana Kehakiman Putrajaya sejak awal pagi.
Keputusan mahkamah itu sekali gus membuktikan bahawa perintah tambahan yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebelum ini, Sultan Abdullah, pada Januari 2024, wujud.
Pada 3 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Encik Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap perintah tambahan berkenaan yang didakwa dikeluarkan Sultan Abdullah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg