KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak menafikan sebarang pembabitan berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan perjanjian pembelian kapal selam, Scorpene, pada 2002.
Penafian itu dibuat berikutan laporan agensi berita antarabangsa, Bloomberg, yang memetik dakwaan Pendakwa Raya Perancis mengenai pembayaran rasuah berjumlah AS$1.2 bilion (RM5.12 bilion/$1.55 bilion) yang didakwa membabitkan pegawai Malaysia.
Pasukan pembelaan Encik Najib iaitu firma guaman Messrs Shafee & Co, menegaskan bahawa laporan Bloomberg itu merujuk kepada dokumen mahkamah Perancis pada 2024 yang menyatakan “tiada bukti yang menunjukkan beliau menerima sebarang pembayaran itu” yang didakwa bertujuan memberi ganjaran kepada pegawai Malaysia yang terbabit dalam perolehan tender pertahanan tersebut.
Mereka turut menekankan bahawa Pendakwa Raya Perancis tidak mencadangkan supaya Encik Najib dibicarakan dan tiada pendakwaan difailkan terhadapnya.
Laporan Bloomberg menyebut Pendakwa Raya Perancis mendakwa Encik Najib menghadiri mesyuarat dengan eksekutif syarikat pertahanan untuk mengatur kontrak sebelum perjanjian kapal selam Scorpene pada 2002, lapor Berita Harian Malaysia.
Mereka mendakwa kontrak itu disusun untuk memberi manfaat kepada pembuat keputusan termasuk bekas penasihat Encik Najib, Encik Abdul Razak Baginda.
Dokumen sulit yang dipetik dalam laporan itu menyatakan kontrak terbabit direka untuk memberi ganjaran kepada Encik Najib dan individu lain.
Pasukan peguam Encik Najib turut menafikan dakwaan penyiasat Perancis disekat oleh ‘pengaruh’ mantan perdana menteri itu dengan menekankan bahawa pentadbiran selepas 2018 mendapat akses penuh kepada rekod Kementerian Pertahanan, namun tiada dokumen yang mengaitkan beliau pernah ditemui.
Peguam itu juga berkata penyertaan Encik Najib dalam perbincangan perolehan adalah sebahagian daripada tugas rasminya dan menggambarkannya sebagai salah laku “tidak ada sebarang bukti pengayaan peribadi atau arahan yang menyalahi undang-undang” adalah “sindiran nakal yang dibuat untuk mengelirukan pendapat umum”.
“Atas sebab-sebab ini, kami menganggap berita Bloomberg sebagai bukan isu berkait kedudukan undang-undang Najib,” katanya.
Encik Najib yang kini berusia 72 tahun menjalani hukuman penjara yang dikurangkan atas pertuduhan berkaitan kes SRC International.
Mantan perdana menteri itu memfailkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang akan membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Perjanjian pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada 2002 menjadi subjek kontroversi dan dakwaan rasuah membabitkan beberapa individu termasuk Encik Najib.
Pada 2002, Malaysia membeli dua kapal selam kelas Scorpene dan satu kapal selam kelas Agosta daripada syarikat pertahanan Perancis, DCN International (kini sebahagian daripada Thales).
Perjanjian bernilai kira-kira AS$1.2 bilion itu ditandatangani ketika Encik Najib semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg