Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar belum fikir rombakan Kabinet susuli peletakan jawatan 2 menteri M’sia

May 29, 2025 | 11:31 AM
Malaysia, Anwar Ibrahim, Kabinet, menteri
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada 29 Mei. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rombakan Kabinet tidak akan berlaku dalam masa terdekat, menyusuli pengumuman peletakan jawatan oleh dua menteri Kerajaan Perpaduan pimpinannya pada 28 Mei.

Datuk Anwar berkata beliau belum memikirkan mengenai rombakan Kabinet ketika ini, berikutan dua menteri yang meletak jawatan secara asasnya sedang bercuti.

“Belum (fikir buat rombakan), mereka masih bercuti. Kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada 29 Mei.

Berita Harian pada 28 Mei melaporkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan meletak jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai.

Datuk Rafizi, yang juga Ahli Parlimen (AP) Pandan, dan Nik Nazmi selaku AP Setiawangsa di Kuala Lumpur, kini menghabiskan cuti tahunan sehingga tamat tempoh perjawatan itu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 28 Mei mengesahkan Datuk Anwar telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Datuk Rafizi dan Nik Nazmi.

Dalam satu kenyataan, PMO memaklumkan setelah meneliti permohonan berkenaan, Datuk Anwar bersetuju meluluskan cuti kededua menteri tersebut.

Datuk Rafizi dan Nik Nazmi melepaskan jawatan Kabinet menyusuli kekalahan dalam pemilihan peringkat Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei lalu.

Pada pemilihan itu, Datuk Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang dimenangi mantan Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas dalam mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghormati keputusan kededua menteri berkenaan meletak jawatan Kabinet dan menyifatkan tindakan Datuk Rafizi serta Nik Nazmi berprinsip.

“Kita tidak mencampuri urusan dalaman parti lain, namun sebagai rakan dalam Kabinet kita menghormati keputusan kededua menteri berkenaan.

“Mereka secara kolektif mendukung semua keputusan ditetapkan Kabinet dan ketiadaan mereka mungkin akan digantikan dengan calon daripada PKR, atas kuasa Perdana Menteri, Datuk Anwar,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg