JOHOR BAHRU: Pengorbanan seorang nenek tiada taranya buat sembilan cucu apabila beliau yang menghidap kencing manis dan hilang sebelah jari kaki masih gigih bekerja membersihkan tauge hanya untuk mendapatkan RM10 ($3.04) buat belanja harian mereka.
Pada usia 62 tahun, Cik Dayang Noor, yang juga seorang balu terpaksa memikul tanggungjawab menyara sembilan cucunya berusia antara lima dengan 17 tahun selepas anaknya dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Menceritakan permulaan beliau menjaga cucu-cucunya yang tidak bersekolah kerana tidak mempunyai sijil lahir, Cik Dayang berkata beliau menerima panggilan daripada cucu sulung memaklumkan bahawa ibu mereka telah meninggalkan keluarga selepas bapa mereka dipenjarakan.
“Hati saya hancur apabila mereka merayu untuk tinggal bersama saya. Tidak ada nenek yang sanggup mengabaikan cucu dalam keadaan seperti itu,” katanya lapor The Star.
Cik Dayang sebelum ini menetap di Pulau Pinang dan bergelut dengan keadaan jari yang baru dipotong, bergegas menaiki bas ke Johor sebaik menerima panggilan daripada cucu-cucunya itu.
Mereka kini tinggal di rumah sewa dua bilik di Johor yang sempit, tanpa sebarang kemudahan termasuklah sofa dan televisyen.
Wanita cekal berasal dari Sabah yang mempunyai 13 anak itu sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang sapu, namun kini mencari rezeki dengan membersihkan tauge.
“Saya biasanya menyimpan separuh daripada pendapatan saya. Selebihnya perlu membayar sewa bulanan RM650 dan bil elektrik.
“Saya bersyukur kerana mempunyai tuan rumah yang baik hati dan memberi masa tambahan untuk membayar sewa kerana beliau tahu kesusahan saya,” katanya.
Cik Dayang juga menyatakan rasa terkilan sebaik mengetahui sembilan cucunya itu tidak mempunyai sijil kelahiran, sedangkan ibu bapa mereka adalah warga Malaysia.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dalam keadaan ini satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang berusaha mendaftarkan cucu-cucu saya ke sekolah. Saya harap mereka boleh mendapat pendidikan dan mempunyai kehidupan lebih baik apabila dewasa,” katanya.
Pengasas Yayasan Kebajikan Suria Johor Bahru, Encik James Ho, berkata selain mengusahakan persekolahan mereka, pihaknya juga membekalkan barangan runcit kepada keluarga itu dua kali sebulan sejak setahun lalu dan akan terus membantu keperluan lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg