Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nurul Izzah dapat sokongan lebih dua pertiga rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

May 8, 2025 | 5:05 PM
Nurul Izzah Anwar, PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli
Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, disebut-sebut bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli. - Foto fail NSTP

Dengan proses pencalonan untuk pemilihan pimpinan baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bermula pada 8 dan 9 Mei, Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar, terus mendapat sokongan padu perwakilan parti itu di seluruh Malaysia dengan setakat ini lebih dua pertiga cabang menyokong beliau bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sejauh ini, Cik Nurul Izzah yang juga puteri sulung pengasas dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, belum menghantar permohonan pencalonan.

Namun gelombang sokongan akar umbi yang mahu beliau mengambil alih jawatan nombor dua parti daripada penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli, begitu jelas.

Cik Nurul Izzah diramal boleh menang mudah jika bertanding jawatan Timbalan Presiden, mengambil kira pendedahan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R Ramanan, bahawa setakat ini lebih 150 cabang PKR sudah menyatakan sokongan terhadap mantan Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh (Pulau Pinang) itu bagi merebut jawatan berkenaan pada pemilihan pada 23 Mei.

Beliau, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, berkata sokongan terhadap Cik Nurul Izzah sudah melebihi dua pertiga daripada keseluruhan jumlah cabang PKR di Malaysia.

“Bagi saya itu adalah hasrat akar umbi parti. Walaupun saya tak buat pengiraan (secara rasmi) semua (cabang yang menyatakan sokongan), tetapi lebih 150 cabang (bersamaan) dua pertiga (cabang dalam) parti mencalonkan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden.

“Nurul Izzah berpengalaman luas dalam politik termasuk kewibawaannya sebagai pemimpin terserlah apabila meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, selain memiliki imej baik.

“Adalah tidak adil jika ada pihak menggelarkan usul untuk Nurul Izzah bertanding sebagai pemimpin nombor dua PKR sebagai nepotisme atau ‘parti anak-beranak’,” katanya.

Setakat laporan ini ditulis, kebanyakan ketua cabang dari seluruh Malaysia menamakan Cik Nurul Izzah, yang pernah dinobatkan sebagai Wanita Paling Berpengaruh di dunia oleh Influential Brands – sebuah organisasi kumpulan pemikir kepenggunaan, sebagai calon Timbalan Presiden.

Malah, ramai pemimpin tinggi PKR termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Penerangan, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Wanita, Cik Fadhlina Sidek; dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Encik Adam Adli Abdul Hamid, menyatakan sokongan terbuka bagi Cik Nurul Izzah bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Pemilihan tiga tahun sekali PKR yang diadakan serentak dengan Kongres Nasional PKR pada 22 dan 23 Mei ini di Johor Bahru menyaksikan sekitar 30,000 ahli dan pemimpin PKR bakal membuat keputusan calon mana yang bakal mengisi enam jawatan teratas dan Majlis Pimpinan Pusat parti.

Bahang pemilihan kali ini dianggap lebih hangat berikutan ia pemilihan pertama PKR, iaitu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), sebagai peneraju Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, jawatan Timbalan Presiden paling mendapat tumpuan dengan persetujuan Cik Nurul Izzah untuk bertanding merebut kerusi itu djangka menyaksikan pertembungan antara beliau dengan Datuk Rafizi yang sebelum ini sudah mengesahkan akan bertanding mempertahan jawatan yang disandangnya itu sejak 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg