Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rafizi dijangka hadapi saingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR

Nurul Izzah, Saifuddin Nasution disebut-sebut bakal bertanding
May 7, 2025 | 4:13 PM
Malaysia, Rafizi Ramli, politics, politik, Parti Keadilan Rakyat, PKR
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli (tengah), akan bertanding mempertahan jawatan pada pemilihan PKR Pusat akhir Mei ini dan mengalu-alukan pencabar Cik Nurul Izzah Anwar, dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto NSTP

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, mengesahkan akan bertanding mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti 23 Mei ini dan mengalu-alukan persaingan daripada dua bakal pencabarnya atas semangat demokrasi.

Menteri Ekonomi Malaysia itu dijangka dicabar dua nama yang disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden iaitu Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pengesahan itu yang dibuat Datuk Rafizi dalam satu kenyataan pada 7 Mei, menghurai kontroversi berhubung perebutan jawatan nombor dua parti itu.

“Saya menerima baik berita bahawa Datuk Saifuddin Nasution dan Saudari Nurul Izzah menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti. Daripada awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti. Ia keputusan yang menang-menang bagi saya,” ujarnya.

Pemilihan jawatan tersebut menjadi perhatian selepas Cik Nurul Izzah menerima banyak sokongan untuk bertanding mengisi kedudukan itu.

Dalam kenyataan sama, Datuk Rafizi menyatakan kesediaan untuk berundur daripada Kabinet bagi memberi tumpuan penuh kepada parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekiranya beliau gagal mempertahankan jawatan ditandingi.

“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.

“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.

Datuk Rafizi berkata beliau ada menyampaikan kesediaan berundur daripada jawatan dalam parti dan Kabinet dalam pertemuan empat mata dengan Presiden PKR merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Datuk Saifuddin Nasution.

“Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.

“Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (defensive) dan tidak menyerang (offensive) seperti rentak PKR semasa menjadi pembangkang.

“Kededua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian dari Kabinet,” katanya.

Ujar Datuk Rafizi pemilihan PKR pada 2025 ini bakal sengit di setiap peringkat kerana ia adalah kali pertama parti memilih pimpinan sebagai parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

Pada pemilihan PKR peringkat cabang April lalu, Datuk Rafizi kekal mempertahan jawatan Ketua Cabang Pandan, namun beberapa pemimpin yang disebut sebagai orang kuat beliau atau ‘kem Rafizi’ gagal mengekalkan jawatan.

Segelintir pihak menyifatkan kekalahan kem Rafizi pada pemilihan lalu sebagai satu isyarat jelas penolakan akar umbi terhadap budaya politik elit dan kartel dalam parti itu.

“...Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat) dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti. Ia keputusan yang menang-menang bagi saya,” Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan. Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah.”
Datuk Seri Rafizi Ramli, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg