Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, sah bertanding mencabar Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, untuk merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan parti akhir Mei ini.
Datuk Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri Malaysia pula sah bertanding bagi mempertahankan jawatan Presiden PKR pada pemilihan 23 Mei ini, namun jawatan itu diramal tidak dipertandingkan.
Setakat 5.30 petang 9 Mei, hanya Cik Nurul Izzah dan Datuk Rafizi mengemukakan pencalonan secara dalam talian bagi jawatan Timbalan Presiden, berdasarkan semakan di laman web pencalonan parti.
Bagaimanapun, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang awalnya disebut-sebut mungkin bertanding jawatan Timbalan Presiden dijangka tidak meneruskan hasrat itu.
Sebelum ini, Cik Nurul Izzah, juga puteri sulung Datuk Anwar, meraih sokongan padu daripada pemimpin dan ahli akar umbi PKR di seluruh Malaysia, dengan lebih dua pertiga cabang parti itu menamakan mantan Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Lembah Pantai (Kuala Lumpur) itu sebagai calon Timbalan Presiden.
Ini sekali gus memberi isyarat beliau mampu menang mudah kerusi Timbalan Presiden mendahului Datuk Rafizi yang memegang jawatan itu sejak 2022.
Cik Nurul Izzah dalam kenyataan menyusuli pencalonan itu menegaskan dakwaan atau tanggapan nepotisme yang dikaitkan dengan perjuangannya termasuk keputusan bertanding Timbalan Presiden tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
“Insya-Allah, kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme. Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya.
Tempoh pencalonan yang bermula 8 Mei dan berakhir pada 11.59 malam 9 Mei juga menyaksikan 11 nama sudah menghantar pencalonan untuk merebut jawatan Naib Presiden, termasuk empat penyandang semasa.
Mereka adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains dan Teknologi, Encik Chang Lih Kang; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Turut mengemukakan pencalonan adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Encik R Ramanan; dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Sementara itu, empat anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan antara 72 pemimpin PKR yang mengesahkan pencalonan untuk bertanding mengisi jawatan Ahli MPP dalam pemilihan parti itu.
Antaranya termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Encik Adam Adli Abdul Halim; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir; dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Cik K Saraswathy.
Pertandingan untuk Ahli MPP bagi merebut 20 jawatan dipertandingkan, tidak termasuk masing-masing satu untuk Presiden dan Timbalan Presiden serta empat jawatan bagi Naib Presiden.
Pemilihan PKR berlangsung serentak dengan Kongres Nasional PKR pada 22 dan 23 Mei ini, dengan Johor menjadi tuan rumah buat kali pertama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg