Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuda Umno Johor pertahan rekod pembangunan negeri
Pemuda Umno Johor pertahan rekod pembangunan negeri
Setiausaha Pemuda Umno selar tindakan pemimpin PH guna data perbelanjaan Persekutuan untuk perkecil usaha kerajaan negeri
Pemuda Umno Johor pertahan rekod pembangunan negeri
JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda Umno mempertahankan rekod pembangunan Johor dan mempersoalkan dakwaan sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan negeri seolah-olah mengambil kredit sepenuhnya terhadap projek pembangunan yang turut melibatkan peranan Kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Encik Mohd Hafiz Ariffin, berkata naratif bahawa Johor terlalu menuntut kredit terhadap pelbagai projek pembangunan adalah tidak berasas dan perlu dinilai berdasarkan fakta.
Beliau berkata sejak kebelakangan ini, beberapa pemimpin PH di peringkat Persekutuan menggunakan data perbelanjaan kerajaan pusat di Johor untuk menggambarkan negeri itu menerima manfaat besar daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kononnya, Johor mengambil semua kredit sedangkan banyak projek dibantu Kerajaan Persekutuan. Persoalannya, siapa sebenarnya yang mengatakan Johor tidak mengiktiraf peranan Persekutuan?
“Kita sambut apa yang dikatakan pemimpin PH bahawa fakta perlu dilawan dengan fakta,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Mei.
Menurut Encik Mohd Hafiz, berdasarkan data ekonomi, Johor menyumbang kira-kira 9.6 peratus kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) negara dengan nilai ekonomi mencecah RM158 bilion ($50 bilion).
Johor juga mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi antara semua negeri pada 2024 selain menyumbang hasil cukai yang besar kepada Kerajaan Persekutuan, ujarnya.
“Jika melihat kutipan hasil negara, terdapat anggaran bahawa kegiatan ekonomi di Johor mampu menyumbang hampir RM20 bilion kepada hasil Persekutuan.
“Ini bermakna Johor turut membantu menjana pendapatan negara yang besar dan sebab itulah terdapat kewajaran untuk cadangan supaya peratusan hasil yang dikembalikan kepada Johor dipertingkatkan,” katanya.
Encik Mohd Hafiz, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong, turut mempersoalkan penggunaan angka RM14.6 bilion yang dikatakan diterima Johor daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, angka berkenaan bukan merujuk kepada dana yang disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya merangkumi pelbagai komponen termasuk belanja mengurus, belanja pembangunan dan peruntukan operasi agensi Persekutuan di Johor.
Jelasnya, perbelanjaan itu termasuk kos membayar gaji penjawat awam, operasi sekolah, hospital, polis serta pelbagai kemudahan awam yang sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
“Jangan gambarkan seolah-olah keseluruhan RM14.6 bilion itu merupakan wang yang diberikan terus kepada kerajaan negeri.
“Ini sebenarnya adalah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di Johor yang turut meliputi operasi harian jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.
Encik Mohd Hafiz turut mendakwa, sebahagian nilai yang dimasukkan dalam angka tersebut melibatkan projek yang masih berada pada peringkat perancangan atau pengumuman.
Beliau memberi contoh projek seperti Sistem Transit Aliran Automasi (ART), Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA-2) dan beberapa projek pembangunan lain yang belum siap dilaksanakan, tetapi nilai keseluruhan projek berkenaan sudah dimasukkan dalam pengiraan.
Menurutnya, tiada pihak menafikan peranan Kerajaan Persekutuan dalam memacu pembangunan Johor, namun, sumbangan itu tidak seharusnya dijadikan alat politik bagi membentuk tanggapan bahawa kerajaan negeri tidak memainkan peranan.
“Pembangunan Johor adalah hasil kerjasama pelbagai pihak. Namun, jangan jadikan perbelanjaan Persekutuan sebagai modal politik untuk menggambarkan seolah-olah Johor tidak menghargai sumbangan tersebut.
“Apabila tiba masanya nanti, rakyat Johor sendiri akan membuat penilaian berdasarkan fakta dan pencapaian yang dapat mereka lihat,” katanya.
