ISKANDAR PUTERI (Johor): Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan beliau sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar daripada terpaksa bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam pentadbiran kerajaan negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Datuk Onn Hafiz berkata pendirian itu selari dengan semangat Bangsa Johor yang selama ini menyaksikan BN Johor tidak pernah membentuk kerajaan negeri bersama DAP, walaupun keadaan politik di peringkat Persekutuan berbeza.

“Insya-Allah apabila kerajaan negeri ditubuhkan semula dengan perkenan Tuanku Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor, jika rakyat memberikan mandat kepada BN sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka. Inilah semangat Johor, semangat Bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini pada 7 Jun.

Datuk Onn Hafiz, yang juga Menteri Besar Johor, berkata keengganan beliau bekerjasama dengan DAP bukan berpunca daripada sentimen perkauman, sebaliknya kerana perbezaan prinsip dan pendekatan politik.

Jelasnya, rakyat Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup sebagai satu keluarga besar di bawah payung Bangsa Johor dan perkara itu perlu terus dipertahankan, lapor Kosmo!.

“BN Johor tidak pernah duduk semeja dengan DAP. Senario di pusat dan Johor berbeza.

“Yang saya ingat pernah duduk semeja dengan DAP ialah Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi rakyat perlu ingat perkara itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, turut mempertahankan keputusan kerajaan negeri membubarkan DUN Johor lebih awal, walaupun penggal pentadbiran masih berbaki sehingga April 2027.

Menurutnya, faktor Ramadan, Aidilfitri, musim tengkujuh serta ketidaktentuan geopolitik dunia antara pertimbangan utama yang diambil kira sebelum keputusan tersebut dibuat.

“Ramai bertanya mengapa Johor bubar DUN sekarang. Hakikatnya, pada Februari Ramadan, Mac pula Aidilfitri, manakala November hingga Januari pula musim tengkujuh.

“Dalam keadaan ekonomi dan geopolitik dunia yang mencabar, Johor memerlukan kerajaan yang lebih stabil supaya agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menyasarkan kemenangan lebih besar buat BN Johor berbanding PRN 2022, dengan terus mendekati rakyat pelbagai kaum serta meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ).

“Insya-Allah kita bukan sekadar mahu menang, tetapi menang dengan majoriti yang lebih membanggakan.

“Namun, kemenangan itu tidak datang bergolek, sebaliknya perlu diperjuangkan melalui kerja keras dan khidmat kepada rakyat,” katanya.