Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Padah hina kalimah Allah, 2 lelaki di M’sia dihukum penjara 6 bulan dan denda

Mar 22, 2024 | 12:07 PM
Juruteknik aplikasi sosial, Chiok Wai Loong, 34 tahun, dipenjara enam bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menghina kalimah Allah terkait isu stoking tertera kalimah Allah pada 22 Mac.
Juruteknik aplikasi sosial, Chiok Wai Loong, 34 tahun, dipenjara enam bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menghina kalimah Allah terkait isu stoking tertera kalimah Allah pada 22 Mac. - Foto HARIAN METRO

KOTA KINABALU: Padah memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di laman sosial berkait isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, dua lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh mahkamah.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seorang juruteknik aplikasi sosial dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 ($3,408) pada 22 Mac, selepas mengaku salah atas tuduhan membuat hantaran bersifat jelik berkaitan kalimah Allah di laman sosial.

Tertuduh, Chiok Wai Loong, 34 tahun, mendakwa hanya mahu menjadi ‘keyboard warrior’ dan tidak mengetahui kalimah ‘Allah’ yang ditulis menghina agama Islam.

Dalam rayuannya, lelaki itu memohon supaya tidak dipenjara kerana tidak mahu kehilangan kerja.

“Saya tidak sengaja, hanya mahu menjadi ‘ keyboard warrior’, saya tidak tahu perkataan itu sensitif kepada orang lain,” katanya lapor Harian Metro.

Hakim Cik Suzana Hussin yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Chiok turut memerintahkannya dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, seorang perunding hartanah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 atas tuduhan sama, menghina kalimah Allah.

Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ricky Shane Cagampang, 33 tahun, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas tuduhan itu di mahkamah pada 21 Mac.

Tertuduh juga boleh dijatuhi hukuman penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda.

Ricky Shane didakwa menyalah guna kemudahan jaringan atau perkhidmatan jaringan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dituduh melakukan kesalahan itu pada 12.05 tengah hari, 17 Mac lalu melalui akaun Facebooknya.

Dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman, Ricky Shane yang berasal dari Tawau, Sabah, memberitahu mahkamah dia adalah seorang mualaf selepas memeluk Islam di Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Kota Kinabalu, pada Mac 2021.

Tertuduh mendakwa hanya memberi komen terhadap hantaran di laman Facebook New Straits Times (NST) dan tidak menyedari komennya menyebabkan kesan yang serius hingga dia didakwa di mahkamah.

Katanya, dia sudah menghapuskan komen berkenaan dalam tempoh dua atau tiga minit selepas dimuat naik.

“Kecuaian tindakan saya membuat komen seperti itu dan memuat naik adalah sesuatu yang tidak terfikir dan ia betul-betul berdasarkan emosi saya ketika memberikan maklum balas kepada komen dan hantaran yang lain.

“Saya memohon maaf dengan ikhlas sebanyak-banyaknya kepada semua yang terkesan oleh hantaran dan komen saya di Facebook berkaitan dengan agama Islam,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di pasar raya KK Mart, di Lembah Klang, sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam, termasuk Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg