KUALA LUMPUR: Kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput akibat tindak balas kimia dan ketidakstabilan tanah dikenal pasti punca utama kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada Ogos 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata hasil siasatan pasukan khas diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kejadian itu tidak berpunca kewujudan lapisan batu kapur di bawah tanah seperti yang dibimbangi orang ramai.
“Lokasi kejadian terletak di atas Formasi Kenny Hills dan didasari batuan syis (schist), manakala lapisan batu kapur hanya ditemukan pada kedalaman 60 hingga 70 meter. Oleh itu, insiden berkenaan tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan batu kapur.
“Rumusan daripada pasukan khas juga mendapati kegagalan struktur paip pembetungan yang telah mereput akibat tindakan balas kimia serta ketidakstabilan tanah antara faktor utama yang menyebabkan terbentuknya rongga di bawah struktur pejalan kaki, yang akhirnya mencetuskan insiden lubang benam itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 23 Oktober.
Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Datuk Yusuf Abd Wahab (Gabungan Parti Sarawak-Tanjong Manis) yang ingin mengetahui status terkini laporan insiden lubang benam di Jalan Masjid India.
Pada 23 Ogos 2024, seorang wanita dikenali sebagai Cik G Vijaya Lakshmi berasal dari Andhra Pradesh, India, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
Dr Zaliha berkata laporan penuh hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Ogos lalu, manakala laporan khas untuk bacaan umum akan diterbitkan DBKL pada akhir 2025 bagi memberi penjelasan lanjut kepada masyarakat.
Beliau berkata DBKL kini melaksanakan kajian geoteknikal di jalan-jalan utama sekitar Segitiga Emas Kuala Lumpur bagi mengenal pasti profil serta kestabilan tanah menggunakan kaedah seperti Radar Penembusan Tanah (GPR), Pengesanan dan Jarak Cahaya (LiDAR) dan Radar Aperture Sintetik Interferometri (InSAR).
“Dapatan awal menunjukkan tiada kawasan berisiko tinggi untuk kejadian lubang benam. Kajian ini penting bagi memastikan keselamatan infrastruktur di kawasan pusat bandar dan zon penganjuran Sidang Puncak Asean 2025,” ujarnya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Yusuf yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem amaran awal atau pemantauan berasaskan geoteknikal ataupun teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan risiko lubang benam di kawasan berpenduduk padat di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
Dr Zaliha turut memaklumkan hasil pengalaman daripada insiden berkenaan, kerajaan kini membentuk Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang lebih berwibawa bagi memastikan tindakan pantas dan berkesan sekiranya kejadian seumpama itu berulang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg