Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakatan Harapan harap dapat rampas kerusi, perkukuh kuasa di Pulau Pinang

Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Joohari Ariffin, 60 tahun, berarak dengan diiringi penyokong pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada 22 Jun lalu.
Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Joohari Ariffin, 60 tahun, berarak dengan diiringi penyokong pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada 22 Jun lalu. - Foto WANITA KEADILAN

Tarikh 6 Julai bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil (PRK) – yang kelapan selepas Pilihan Raya Umum 2022. Kali ini PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Perebutan kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan-Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR), Dr Joohari Ariffin, 60 tahun, menentang calon pembangkang Perikatan Nasional-Parti Islam SeMalaysia (PN-PAS), Encik Abidin Ismail, 56 tahun.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan menyusuli kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff, 56 tahun, pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos 2023, Allahyarham Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon PH, Cik Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi. Allahyarham memperoleh 15,433 undi.

Bagi PH, ini adalah peluang terbaik untuk ia merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap. Penting bagi PH menawan kerusi DUN itu untuk menambah bilangan kerusi komposisi DUN Kerajaan Perpaduan, agar segala perancangan dan pembangunan yang direncana kerajaan negeri dapat dilaksanakan, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, sebilangan pihak meramalkan PN mampu mengekalkan kerusi DUN tersebut, kerana Allahyarham Nor Zamri dilihat berkhidmat dengan cemerlang, walaupun sebagai wakil rakyat pembangkang.

Penganalisis politik Profesor Dr Azmi Hassan berkata kededua calon mempunyai peluang untuk menang, dengan tempoh kempen memainkan peranan kritikal untuk dimanfaatkan PH dan PN bagi menambat hati pengundi, terutama dengan pelbagai isu menjadi perhatian rakyat sekarang.

Pakar Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu berkata setakat beberapa hari tempoh berkempen berjalan, beliau melihat tidak banyak isu nasional ditimbulkan, melainkan isu tempatan membabitkan kos sara hidup, harga barangan dan kemudahan awam, yang mungkin dilihat kecil tetapi memberi kesan besar dalam menarik kepercayaan pengundi.

“Saya boleh katakan isu nasional seperti pegangan saham BlackRock dalam MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad) yang hangat diperkatakan tidak memberi kesan kepada pengundi DUN Sungai Bakap, sebaliknya isu yang dekat di hati, seperti penyasaran subsidi diesel, amat menarik perhatian kerana ia berkait langsung dengan kos sara hidup dan harga barangan yang dihadapi pengundi.

“Bergantung pada kebijaksanaan kededua pihak, PH dan PN, menggunakan isu ini... bagaimana calon PH boleh meyakinkan pengundi bahawa sebelum ini, subsidi diesel dinikmati golongan yang tidak sepatutnya, dan bagi pihak PN, bagaimana mereka boleh mengaitkan isu itu dengan kenaikan harga barang, yang memang tidak dapat kita nafikan.

“Isu tempatan seperti kemudahan jalan raya, menurap jalan, kemudahan elektrik, lampu jalan dan air, walaupun dilihat remeh, bagi penduduk Sungai Bakap itu peluang mereka untuk mendapatkan dan menaik taraf semua kemudahan ini,” katanya kepada Berita Minggu.

Walaupun melihat kededua calon PH-PN berkaliber, Profesor Dr Azmi meramalkan PN mempunyai sedikit kelebihan berdasarkan peratusan pengundi Melayu di DUN Sungai Bakap agak besar, iaitu kira-kira 60 peratus, manakala bakinya 40 peratus adalah bukan Melayu.

Profesor Dr Azmi juga tidak menafikan trend turun mengundi yang merosot dalam setiap PRK yang diadakan mungkin mempengaruhi keputusan PRK DUN Sungai Bakap.

“Berdasarkan statistik, peratusan keluar mengundi di PRK memang rendah berbanding PRU. Hakikatnya jangkaan untuk DUN Sungai Bakap dijangkakan peratusan keluar mengundi tidak sampai 70 peratus, mungkin 65 peratus atau lebih rendah.”

Berbaki enam hari tempoh kempen sebelum hari pengundian, calon PH, Dr Joohari, yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, yang agak baru aktif dalam dunia politik, yakin beroleh kemenangan dengan bantuan dan kerjasama jentera PH dan Barisan Nasional (BN).

Mengakui cabaran untuk menawan DUN Sungai Bakap daripada PN, beliau berkata misi ketika ini ialah menarik pengundi atas pagar, lantaran PN sebelum ini memenangi kerusi itu dengan majoriti rendah.

“Insya-Allah dalam tempoh kempen ini saya gunakan sebaiknya pengalaman dalam bidang pendidikan selama 30 tahun untuk menarik undi anak muda. Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi sudah pasti akan menunaikan amanah sebaik mungkin sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih nanti. Isu-isu tempatan akan menjadi keutamaan untuk saya selesaikan,” ujarnya kepada BM.

Encik Abidin pula yakin pengalamannya sebagai pembantu peribadi Allahyarham Nor Azmi dapat memberi kelebihan kepada beliau mengekalkan kerusi DUN Sungai Bakap, bagi meneruskan perjuangan mantan ketuanya itu, terutama dalam menyelesaikan isu tempatan, termasuk masalah bekalan air yang membelenggu penduduk Sungai Bakap sekian lama.

Walaupun berdepan perdebatan ramai mengenai latar belakang pendidikannya, Encik Abidin, yang berpengalaman 30 tahun bekerja sebagai eksekutif logistik di USG Sdn Bhd, aktif dalam jawatan kemasyarakatan dan menjanjikan perkhidmatan terbaik sekiranya diberi peluang meneruskan legasi Allahyarham Nor Zamri di DUN Sungai Bakap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg