JOHOR BAHRU: Paras air di Empangan Upper Layang, Johor, berada pada tahap kritikal berikutan El Nino dan taburan hujan yang rendah di kawasan sekitarnya.

Empangan itu membekalkan air mentah kepada dua loji rawatan yang menampung keperluan kepada lebih daripada 214,000 akaun pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata air mentah sedang dipindahkan dari Empangan Seluyut ke Empangan Upper Layang.

Dalam keadaan biasa, sehingga 300 juta liter dipindahkan sehari. Kadar itu boleh mencecah 330 juta liter sehari ketika permintaan tinggi.

“Insya-Allah, usaha berterusan ini dapat membantu menstabilkan paras air empangan, memastikan kelancaran operasi loji serta mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada 16 November.

Empangan Upper Layang mempunyai daya tampung 42 juta meter padu.

Dua loji yang menerima air mentah daripadanya ialah Loji Rawatan Air (LRA) Layang dan LRA Layang 2 Fasa 1. Empangan itu turut menyokong keperluan LRA Layang 2 Fasa 2 yang sedang dilaksanakan.

Menurut Encik Mohamad Fazli, beliau meninjau empangan itu untuk memeriksa paras air dan menilai langkah yang sedang dilaksanakan bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi.

Beliau meminta pihak berkaitan menyelaraskan usaha menaikkan paras air dan terus memantau keadaan di empangan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor di Kota Iskandar.

Wakil daerah Kota Tinggi, Batu Pahat dan Segamat membentangkan persiapan menghadapi musim banjir di daerah masing-masing.

Perbincangan itu tertumpu pada usaha mengenal pasti kawasan berisiko serta menyelaraskan tindakan bagi memastikan kemudahan asas dan laluan perhubungan dapat digunakan ketika banjir.

Menurut Encik Mohamad Fazli, persediaan itu merangkumi penyelenggaraan jalan raya dan saliran.

Peralatan dan jentera juga perlu sedia untuk digunakan, sementara kawasan yang berisiko dilanda banjir perlu terus dipantau.

“Kerjasama antara wakil rakyat, pentadbiran daerah dengan agensi pelaksana perlu diperkukuh agar tindakan dapat diselaraskan dengan segera dan berkesan,” katanya.

Beliau berharap persediaan awal itu dapat mengurangkan risiko banjir serta gangguan terhadap urusan harian penduduk.

Menurutnya, keselamatan dan kesejahteraan penduduk tetap menjadi keutamaan.